Gambar hiasan. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Beberapa lokasi pantai barat Sabah banjir susulan hujan lebat

KOTA KINABALU, 9 OKT: Hujan lebat berterusan petang ini menyebabkan beberapa lokasi sekitar pantai barat Sabah terutama di daerah Kota Kinabalu, Tuaran dan Penampang dilanda banjir.

Kawasan yang banjir di Kota Kinabalu termasuk Likas, Tebobon, Sepanggar dan Manggatal; di Tuaran pula termasuk Telipok, Rugading dan Gayang manakala di Penampang kawasan yang terjejas antaranya ialah Donggongon, Bundusan dan Sugud.

Banjir juga menenggelamkan jalan raya sehingga mengakibatkan kesesakan lalu lintas manakala kenderaan yang diletak di tepi jalan dan tingkat bawah beberapa premis kedai turut ditenggelami air.

Keadaan itu turut mengakibatkan beberapa laluan utama sesak antaranya Jalan Menggatal Tebobon serta Jalan Sepanggar di Kota Kinabalu, Jalan Salut di Tuaran dan Jalan Panglima Banting di Penampang.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah Misran Bisara berkata setakat ini, pihaknya menerima satu laporan mengenai banjir di Penampang melibatkan sembilan mangsa dan jabatan itu serta pihak berkuasa lain sedang memberikan bantuan perlu.

“Kami bersama pihak berkuasa lain sememangnya sudah bersedia untuk menghadapi sebarang situasi banjir dan sudah melakukan persediaan daripada awal, justeru kita meminta orang ramai supaya mengambil langkah berjaga-jaga ketika cuaca tidak menentu,” katanya.

Beliau berkata pihaknya juga menasihati orang ramai supaya sentiasa mengetahui di mana ahli keluarga mereka ketika situasi cuaca tidak menentu ini selain meminta bantuan pihak berkuasa jika berdepan kesulitan ketika bencana.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia negeri Sabah, ketika dihubungi, pula berkata setakat ini terdapat laporan kawasan terjejas di daerah Penampang dan pusat pemindahan banjir akan dibuka bagi menempatkan mangsa terlibat.

Beliau berkata selain Jalan Panglima Banting, satu lagi laluan iaitu Jalan Sugud di daerah itu hanya boleh dilalui kenderaan berat manakala Jalan Maang yang dinaiki air masih boleh dilalui semua jenis kenderaan.

“Bacaan paras air di sungai antaranya Sungai Moyoq mendapati paras air sungai pada tahap berbahaya dan penduduk kawasan berhampiran telah dinasihatkan supaya sentiasa dalam keadaan waspada,” katanya.

Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini telah mengeluarkan amaran hujan berterusan bagi kawasan pantai barat dan pedalaman Sabah serta Labuan pada 6.10 petang.

“Hujan lebat berterusan dijangka berlaku di kawasan terlibat sehingga 10 Okt,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA

 


Pengarang :