Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan sumbangan berjumlah RM10,000 kepada Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS) sempena program Sukan Tahfiz Selangor Gema Insan 2022 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 15 Oktober 2022. Foto Facebook Amirudin Shari
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Belanja RM9 juta perkasa institusi tahfiz, seimbang duniawi dan ukhrawi

Oleh Suhaila Shahrul Annuar

SHAH ALAM, 16 OKT: Kerajaan Negeri membelanja kira-kira RM9 juta bagi membantu serta memperkasa aktiviti institusi tahfiz sejak 2008.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pelbagai inisiatif akan terus dilaksanakan menaik taraf kemudahan serta memenuhi keperluan institusi tahfiz

“Nilai kesimbangan dunia dan akhirat wajar dikekalkan dan diwujudkan dalam pembangunan sesebuah negeri.

“Sejak 2008 lagi pelbagai insiatif kita laksanakan untuk pelajar tahfiz dengan peruntukan kira-kira RM9 juta seperti membantu pusat tahfiz dan sekolah agama bagi menaik taraf kemudahan untuk menepati keperluan sedia ada,” katanya.

Beliau berucap pada majlis perasmian Program Sukan Tahfiz Selangor 2022 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, malam tadi, yang dihadiri lebih 3,000 pelajar dari 400 pusat tahfiz seluruh negeri.

Amirudin berkata, pelbagai manfaat lain telah dilaksanakan seperti penubuhan Maahad Integrasi Tahfiz (MITS) serta program kecemerlangan pelajar Sijil Pelajaran Malaysia.

“Kerajaan Negeri juga melaksanakan program teknikal dan vokasional supaya mereka (pelajar tahfiz) berkeupayaan serta berminat mencebur diri dalam bidang teknikal dan profesional,” katanya.

Beliau menjelaskan dengan nilai kesimbangan duniawi dan ukhrawi, ia dapat mengukuhkan pembangunan masyarakat supaya kehidupan generasi masa depan bukan generasi tempang.

Dalam majlis sama, Kerajaan Negeri turut menyumbang RM10,000 kepada Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS) bagi memperkasa aktiviti pusat tahfiz.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap sempena program Sukan Tahfiz Selangor Gema Insan 2022 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 15 Oktober 2022. Foto Facebook Amirudin Shari

Pengarang :