Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap sempena Jelajah Selangor Penyayang di Stadium Sultan Suleiman, Klang pada 23 Oktober 2022. Foto REMY ARIIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Beri laluan PRU15, jelajah bantuan rakyat di Hulu Selangor tunda Disember

KLANG, 23 OKT: Jelajah Selangor Penyayang daerah Hulu Selangor yang dijadual November ini ditunda pada Disember bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jelajah bantuan rakyat yang terakhir sebelum PRU15 ialah di Sepang pada 29 dan 30 Oktober depan.

“Jelajah mula dianjur pada 19 Jun lalu dan di Klang merupakan siri ketujuh. Kita akan pergi ke daerah terakhir sebelum PRU15 iaitu di Sepang pada minggu depan.

“Kita akan sambung semula di Hulu Selangor pada Disember untuk beri laluan kepada PRU15 supaya tidak timbul sebarang isu. Jelajah akan diselesaikan menjelang akhir tahun.

“Selepas ini kita bercadang anjur jelajah ke peringkat kecil bergantung kepada maklum balas yang diperoleh selepas selesai selesai fasa kedua,” katanya pada sidang media di Jelajah Selangor Penyayang di Stadium Sultan Suleiman, di sini hari ini.

Sempena jelajah di Klang, Amirudin melancarkan Skim Insurans Am Selangor (INSAN) selain menyampaikan pelbagai inisiatif kepada rakyat seperti Notis 5A, bantuan blueprint,  program Indian Selangor Empowerment and Entrepreneurs Development (i-SEED), persekolahan dan pertanian.

Beliau turut menyerahkan basikal elektrik kepada pejabat daerah dan tanah kepada setiap pegawai daerah di Selangor untuk tujuan penguatkuasaan.

Jelajah Selangor Penyayang daerah Klang bertemakan Membina Keluarga Penyayang membawa pelbagai acara antaranya saringan percuma, jualan barangan asas murah dan pameran.

Turut diadakan cabutan bertuah, pertandingan e-sukan, pakaian beragam keluarga, mewarna dan acara sukan rakyat seperti tarik tali, gusti lengan dan liga penalti.

Sebelum ini, acara sama berlangsung di Taman Kosas Ampang Jaya, Dataran Pantai Morib Kuala Langat, Stadium Utama Kuala Selangor, Dataran Boulevard Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Padang Awam Batu Caves dan Stadium Sungai Besar.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar tetamu jemputan serta pengunjung yang hadir sempena Jelajah Selangor Penyayang di Stadium Sultan Suleiman, Klang pada 23 Oktober 2022. Foto REMY ARIIFIN/SELANGORKINI

Pengarang :