Usahawan produk kesihatan dan kecantikan Norliza Aizul Zulkifli menunjukkan produknya ketika Kembara Sukses Hijrah Selangor di Bukit Jelutong, Shah Alam pada 8 Februari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Biaya RM725 juta bantu puluhan ribu peniaga tingkat pendapatan

Oleh Amin Ridzuan Ishak & Abdul Rahim Sabri

PROGRAM pembiayaan mikrokredit RM1,000 hingga RM100,000 antara inisiatif Kerajaan Selangor bagi membantu usahawan kecil mengembangkan perniagaan serta menambah modal.

Selaku peneraju mikro kredit, Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor) menawarkan lapan skim pinjaman untuk meningkatkan pendapatan sekali gus keluar daripada belenggu kesukaran termasuk sewaktu pandemik.

Lapan program itu termasuk yang ditambah baik ialah I-Bisnes, Zero to Hero, Go Digital, Niaga Darul Ehsan (NaDI) i-Lestari, i-Agro, i-Bermusim dan program Pembangunan Usahawan India Selangor (Sitham).

Sambutan terhadap program itu sangat menggalakkan sejak dilancarkan pada 2015. Lebih RM725 juta pembiayaan disalur kepada 56,470 usahawan kecil sehingga September lalu.

Selain pinjaman, Hijrah Selangor turut menawarkan latihan, program pembangunan keusahawanan serta pengurusan kewangan demi memantapkan ilmu perniagaan.

Program kompas keusahawanan diwujudkan bagi membimbing usahawan lebih berintegriti dan profesional dan menetapkan hala tuju dalam perniagaan yang diusahakan.

Berikut reaksi beberapa usahawan (antara Oktober 2020 hingga Oktober 2022) yang menerima manfaat skim tersebut sehingga berjaya ‘berhijrah’ daripada kesulitan ditempuhi.

========

“Sebelum ini banyak institusi enggan memberi pembiayaan kepada saya untuk memulihkan perniagaan menjual kereta terpakai, hanya Hijrah Selangor sudi menawarkan bantuan pinjaman RM3,000.

“Dari situ kembangkan pula kepada perniagaan sewa bas, kini saya memiliki lima bas sendiri termasuk dua yang baharu dibeli menggunakan pembiayaan Hijrah Selangor…mereka percaya selepas melihat komitmen pembayaran yang baik.”

Sheilla Tukimin
pengusaha bas sewa

=========

“Bantuan daripada Hijrah Selangor membantu saya meningkatkan perniagaan taska daripada rumah teres ke bangunan lebih besar, terkini kami tambah lagi kelas untuk memberi keselesaan kepada murid, bayi serta kakitangan.

“Saya suka cara Hijrah Selangor yang sentiasa mengikuti perkembangan perniagaan kami, mereka akan bantu peniaga mempunyai potensi dengan menawarkan pembiayaan tambahan serta latihan selain mengiktiraf peserta berjaya”

Rahmah Safari
pengusaha taska/tadika

=========

“Alhamdulillah, walaupun tiada kedai fizikal dan hanya beroperasi di rumah, namun perniagaan saban hari menampakkan kemajuan hasil sokongan dana daripada Hijrah.

“Seperti usahawan lain, saya juga ada cita-cita untuk pergi lebih jauh dalam perniagaan. Insya-Allah, paling tidak bermula dengan buka warung dulu sebelum memiliki restoran,” katanya.

Aspalela Musa
peniaga nasi campur

=========

“Saya tak pernah membuat pinjaman dengan mana-mana pihak kecuali dengan Hijrah Selangor sebanyak dua kali iaitu RM30,000 dan RM50,000 untuk membeli mesin-mesin kilang.

“Dato’ Seri Amirudin Shari sebelum menjadi Dato’ Menteri Besar pun banyak membantu dan pernah melawat kilang saya”

Mohiddin Abas
pemilik kilang pau sejuk beku

========

“Mohon dengan Hijrah Selangor paling senang. Sediakan dokumen, tidak lama selepas itu Hijrah Selangor datang melawat di rumah sebab masa itu kami belum ada kedai dan kemudian Hijrah hubungi kami beritahu pinjaman RM5,000 lulus.

“Pinjaman Hijrah Selangor memang beri lonjakan kepada perniagaan kami, terutama selepas pinjaman ketiga meningkat mendadak.”

Norliza Zulkifli
pengasas jamu Kak Lis

=========

“Kami bersyukur kerana walaupun melabur agak besar untuk mengembangkan perniagaan tetapi tidak pernah mengambil pinjaman bank kecuali Hijrah Selangor sahaja.

“Berbanding pinjaman bank, pembiayaan Hijrah Selangor lebih mudah, cepat dan tiada kerenah birokrasi,”

Amirul Hafiz
peniaga ayam gunting


Pengarang :