Pengawas Hutan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor Muhammad Mustaza Hakimi Norzilan menanda sempadan kawasan yang dicadang sebagai hutan simpan baharu, sekitar 600 meter dari kaki Bukit Broga pada 15 September 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/ SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Bukit Lagong dikelas sebagai hutan pengeluaran sejak puluhan tahun

SHAH ALAM, 31 OKT: Hutan Simpan Bukit Lagong dikelaskan sebagai hutan pengeluaran sejak pewartaan kawasan berkenaan pada 1917.

EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian berkata ia termasuk bagi pengoperasian kuari yang berkait dengan industri pembinaan yang memerlukan bahan batuan.

“Sehingga kini, terdapat lapan kuari yang sedang beroperasi dalam seluruh hutan simpanan kekal di negeri (dalam) tempoh selama 30 tahun bermula pada 1993.

“Tempoh pengoperasian ini akan berakhir secara berperingkat mulai tahun 2023, iaitu tahun hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini bagi menjawab tuduhan terhadap operasi kuari di situ.

Loy Sian berkata operasi itu wajib mematuhi syarat-syarat Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) dan agensi teknikal berkaitan bagi mengawal dampak terhadap alam sekitar.

Tegasnya, kebenaran operasi berdasarkan kriteria antaranya isu alam sekitar, hal keselamatan, usaha pemulihan dan latar belakang syarikat kuari.

Beliau juga menjelaskan hanya 16 daripada 44 permohonan diluluskan sejak JPNS memulakan proses berkenaan antara 2014 hingga 2016.

“Keputusan kebenaran pengoperasian adalah berdasarkan kriteria-kriteria di atas dan bukannya seperti yang didakwa pihak tertentu yang cuba memintal persepsi negatif,” katanya.

Beliau berkata atas cadangan JPNS, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri meluluskan 16 syarikat untuk operasi kuari di Hutan Bukit Lagong secara berfasa iaitu lapan kuari bermula 2020 manakala lapan lagi kuari pada 2023.

Dalam kenyataan sama, Loy Sian berkata lokasi operasi kuari jauh dari penempatan Orang Asli sekitar iaitu sekitar 3 km, kata EXCO alam sekitar

Beliau juga menjelaskan lokasi kuari yang baharu diluluskan pula terletak sekitar 9km sekali gus bertentangan dakwaan beberapa pihak.

“Ini adalah tidak benar kerana tidak terdapat komuniti Orang Asli yang menetap di dalam kawasan Hutan Bukit Lagong.

“Hanya terdapat Kampung Orang Asli di luar kawasan tersebut iaitu lebih kurang 3km dari kawasan kuari sedia ada dan lebih kurang 9 kilometer dari kawasan kuari yang baru diluluskan,” katanya.


Pengarang :