Foto Facebook Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE)
AGENSISELANGOR

Bulan anak yatim sempena kelahiran Nabi Muhammad, Yide 10 tahun

SHAH ALAM, 5 OKT: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) melancarkan bulan anak yatim sempena kelahiran Nabi Muhammad SAW yang merupakan seorang anak yatim dan penubuhan agensi itu yang ke-10.

Pengerusinya Tan Sri Mazlan Mansor memaklumkan penganjuran bulan tersebut merupakan kali kedua dan akan dijadikan program tahunan bagi memupuk kesedaran orang ramai berkenaan pentingnya menjaga anak-anak yatim ini.

“Program ini juga telah disusun sekretariat yang bertanggungjawab dengan mengadakan beberapa program bermula pada 28 September lalu sehingga 26 Oktober depan.

“Program bulan anak yatim ini diharapkan menjadi titik permulaan yang baik bagi masyarakat untuk terus memberikan perhatian kepada anak-anak yatim khususnya dari sudut sokongan moral dan emosi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, antara aktiviti yang dijalankan ialah mengumpulkan lebih 500 anak-anak yatim di seluruh Selangor untuk menghadiri seminar khas dengan menjemput panel antaranya daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia Negeri Selangor.

“Selain itu, kita adakan tazkirah khas Maghrib yang akan disampaikan oleh beberapa pendakwah terkenal tanah air seperti Imam Muda Asyraf, Imam Muda Megat dan juga Ikon Mahabbah Yide Ustaz Don Daniyal Don Biyajid di lapan lokasi masjid terpilih.

“Malah, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yide (ALPA Yide) turut akan bersama turun padang melawat beberapa Rumah Kebajikan Anak Yatim seliaan Yide dan Rumah Anak Yatim yang tinggal bersama penjaga dalam menyampaikan sumbangan dan ziarah mahabbah,” katanya.

Mazlan berkata Yide menzahirkan penghargaan kepada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan EXCO Hal Ehwal Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni atas sokongan diberikan dalam menganjurkan program berkenaan.


Pengarang :