AGENDANASIONAL

Calon diminta pakai pelitup muka ketika kempen rumah ke rumah

SHAH ALAM, 31 OKT: Calon yang bertanding dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15) diminta memakai pelitup muka ketika berkempen di kawasan sesak dan dari rumah ke rumah.

Menteri kesihatan berkata ahli politik perlu menunjukkan teladan yang baik termasuk ketika melawat orang sakit dan warga emas yang menjadi kebiasaan ketika berkempen, lapor Berita Harian.

Menurut Khairy Jamaluddin, parti politik dan penganjur juga digalak meminta hadirin untuk memakai alatan itu ketika menyertai ceramah di kawasan tertutup seperti dewan.

“Ini adalah langkah yang perlu diulangi dan dilaksanakan. Kita mahu pilihan raya dijalankan dengan tidak ada terlalu banyak sekatan tetapi pada masa sama kita galakkan gunalah nasihat yang memang sudah wujud dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) (mengenai pencegahan penularan Covid-19),” katanya.

Beliau berkata pandangan kementerian berkenaan tatacara operasi piawai (SOP) hari mengundi juga sudah dihantar kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya prosesnya berjalan lancar dan selamat.

SPR menetapkan 19 November sebagai hari pengundian, hari penamaan calon pula pada 5 November manakala pengundian awal 15 November, dengan tempoh berkempen 14 hari.


Pengarang :