Marina Pulau Indah, Klang. Foto Central Spectrum
AGENDA NASIONAL

Central Spectrum tumpu jual hartanah industri logistik susulan permintaan konsisten

KUALA LUMPUR, 8 OKT: Pemaju utama Taman Perindustrian Pulau Indah, Central Spectrum Sdn Bhd (CSSB), akan terus menumpukan usaha penjualan hartanah industri logistik berikutan permintaan konsisten bagi kawasan kemudahan gudang sebagai pusat operasi serta pengedaran.

Ketua Pegawai Pemasarannya Zukarnine Shah Zainal Abidin berkata kedudukan Pulau Indah yang berdekatan dengan pelabuhan kontena kedua tersibuk di ASEAN, dua lapangan terbang antarabangsa utama serta kereta api domestik, menjadikannya amat strategik bagi pelanggan dalam industri logistik yang berhasrat membangunkan kemudahan gudang dengan infrastruktur asas.

“Pulau Indah memenuhi semua keperluan bagi tujuan logistik dengan lokasi strategik serta infrastruktur asas serba lengkap dan akses ke jalan-jalan utama yang penting untuk perkembangan perniagaan,” katanya  di Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor 2022, baru-baru ini.

Jelasnya, Central Spectrum masih menggunakan model penyediaan kawasan serta kemudahan asas berikutan kebanyakan syarikat memerlukan keperluan yang berlainan dan gudang dibina mengikut kegunaan tertentu.

Beliau berkata, walaupun permintaan kepada hartanah industri meningkat, CSSB turut mempunyai perancangan bagi membangunkan kawasan residensi dan perumahan seiring dengan pertambahan kilang-kilang dan peluang pekerjaan di Pulau Indah.

Mengulas selanjutnya, Zukarnine berkata pihaknya juga sentiasa meninjau peluang bagi menarik lebih ramai pelabur asing.

Sehubungan itu, beliau yakin terhadap pembangunan Pulau Indah melalui kerjasama rapat dengan Invest Selangor Berhad.

Malah, katanya, peranan Invest Selangor sebagai agensi sehenti untuk maklumat, perkhidmatan penasihat serta bantuan permulaan atau pengembangan kepada pelabur berpotensi dan sedia ada, turut memudahkan CSSB dalam usahanya menarik pelaburan ke Pulau Indah.

“Usaha menerusi penyertaan dalam misi perdagangan atau penganjuran seperti SIBS 2022 ini, CSSB dapat mengenal pasti negara yang memerlukan lokasi perdagangan di kawasan pelabuhan.

“Sekiranya ada insentif tertentu diperlukan oleh pihak pelabur berpotensi, kami akan merujuk kepada pihak Invest Selangor bagi mendapatkan nasihat,” katanya.

Zukarnine berkata, kepesatan ekonomi Selangor yang menyumbang hampir 25 peratus kepada ekonomi Malaysia turut menjadi faktor utama negeri itu menjadi destinasi pilihan pelabur.

Menurutnya, ini berikutan kebanyakan aktiviti ekonomi tertumpu di Selangor dan CSSB mengambil pendekatan dengan mengetengahkan kelebihan negeri itu kepada kalangan pelabur asing.

Central Spectrum yang juga di bawah Menteri Besar Selangor Inc adalah pemaju hartanah perindustrian, komersial dan pelaburan hartanah.

Portfolio syarikat itu termasuk Taman Perindustrian Pulau Indah, Hab Halal Selangor dan SSB Industrial Park. – BERNAMA


Pengarang :