Bot nelayan dari Indonesia bersama 22 kru ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang kerana menceroboh perairan negara di kedudukan 51.9 batu nautika barat daya Pulau Kendi pada 14 September 2022. Foto Facebook APMM
AGENDAJENAYAH

Ceroboh perairan negara, APMM tahan bot nelayan Indonesia

GEORGE TOWN, 30 OKT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan Indonesia bersama empat kru kerana menceroboh perairan negara untuk menangkap ikan di kedudukan 39 batu nautika barat daya Pulau Kendi, dekat sini Jumaat lepas.

Pengarahnya, Kapten Maritim Abd Razak Mohamed berkata pihaknya yang menjalankan rondaan rutin Op Tanjung telah mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan sedang menangkap ikan pada 1.10 tengah hari.

“Pemeriksaan yang dijalankan mendapati bot nelayan itu dikendalikan oleh seorang tekong bersama tiga kru yang kesemuanya berumur 27 hingga 47 tahun dan mereka tiada sebarang dokumen perjalanan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kesemua mereka ditahan untuk siasatan lanjut dan kes itu disiasat menurut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Sementara itu, Abd Razak berkata Kapal Maritim SIKUAT telah mengusir tiga bot nelayan Indonesia bermula pukul 7 pagi hingga 8 pagi Jumaat kerana dikesan berada di kawasan Unresolved Maritime Boundary iaitu 80 batu nautika dari barat Pulau Kendi, kawasan perairan yang dituntut oleh Malaysia dan Indonesia.

“APMM akan terus memantau kegiatan pencerobohan bot nelayan asing di sempadan perairan negara bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan perairan negara sentiasa terjamin,” katanya.

— BERNAMA

 


Pengarang :