EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim (tengah) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad (Invest Selangor Dato’ Hasan Azhari (kiri) dan Ketua Pegawai Operasi SIDEC Loo Chuan Boon (kanan) memperkenalkan logo Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2022 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 12 Mei 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Cita-cita Selangor kuasai ekonomi serantau, SIBS pintu masuk Asean

Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) terus mendapat sambutan memberangsangkan sehingga ia muncul antara acara terpenting negara ini. Berwawasan tinggi untuk bersaing di pentas serantau, acara yang bermula 2015 menyasarkan urus niaga RM350 juta dengan 30,000 peserta pada 2022.

Berlangsung empat hari bermula 6 Oktober di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, SIBS merangkumi enam acara, yang utama antaranya Ekspo Antarabangsa Selangor (SIE) Kelapan, Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor (SDEC) Ketujuh, serta Persidangan Perniagaan Asean Selangor (SABC) Keenam.

Ia juga menganjurkan Ekspo Penyelidikan serta Pembangunan dan Inovasi Selangor (SRIE) Ketiga dan Ekspo Taman Perindustrian Selangor (Spark). Wartawan NORRASYIDAH ARSHAD dan NASUHA BADRUL HUZAINI menemu bual EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim pada 26 September berhubung SIBS tahun ini. Teks temu bual disediakan oleh NADIAH ZAMLUS.

SIBS masuk tahun kelapan penganjurannya, sejauh mana Dato’ melihat pencapaian acara ini?

Selangor berbangga dengan perkembangan SIBS sejak 2015. Sebenarnya kita bermula sebagai ekspo makanan dan minuman iaitu SIE. Pada waktu itu, ia tertumpu kepada makanan dan minuman, kemudian berkembang kepada bandar pintar, seterusnya persidangan perniagaan dan seterusnya taman perindustrian.

Tidak lama kemudian ia menjadi jenama baharu iaitu berubah kepada SIBS dengan menekankan enam acara utama. Memang kita nampak ada perkembangan walau terdapat turun naik nilai transaksi selama tempoh tujuh hingga lapan tahun ini.

Untuk makluman, pada 2015 jumlah pengunjung dicatatkan adalah 4,316 kemudian naik pada 2016 (10,689), 2017 (22,071), 2018 (23,737) dan 2019 (34,638). Namun disebabkan pandemik dan diadakan secara dalam talian pada 2020, jumlah pengunjung 2,618 sahaja. Penganjuran pada 2021 pula secara hibrid dengan jumlah pengunjung 25,410. Disebabkan mendapat permintaan tinggi kita sasarkan 30,000 pengunjung untuk SIBS pada tahun ini.

Seperti yang dikatakan transaksi ada turun naiknya, pada 2015 jumlahnya ialah RM182 juta, 2016 (RM100 juta), 2017 (RM204.2 juta), 2018 (RM194.6 juta). Kemudian pada 2019 mendadak naik kepada RM447 juta, tetapi pandemik menyebabkan nilai itu turun kepada RM1.09 juta pada 2020. 2021 acara hibrid membolehkan transaksi naik semula kepada RM217.6 juta dan tahun ini kita sasarkan kepada RM350 juta.

Bagaimana konvensyen membantu perkembangan ekonomi negeri?

SIBS membantu tingkatkan ekonomi dengan menyediakan peluang kepada pempamer bertemu dan mendapatkan pesanan baharu melalui mesyuarat perniagaan yang disertai ketika sidang kemuncak berkenaan. Juga beri peluang untuk perniagaan baharu mendapatkan peluang perniagaan. Pada masa sama, SIBS juga boleh mengembangkan rantaian bekalan pempamer. Kita juga berbangga kerana ia dapat beri peluang pekerjaan untuk peserta pameran. Dan paling bermakna apabila Selangor menjadi pintu masuk ASEAN.

SIBS diteruskan walau pandemik Covid-19 melanda. Pada 2020 ia diadakan secara atas talian dan kemudian pada tahun lalu secara hibrid. Kenapa Kerajaan Negeri meneruskan sidang kemuncak pada waktu itu walau terdapat kekangan?

Kerajaan Negeri meneruskan penganjuran SIBS 2020 secara atas talian dan SIBS 2021 secara hibrid kerana industri memerlukan rangsangan dari segi menjana petunjuk perniagaan. Penganjuran ini juga beri peluang rangkaian walaupun ketika tempoh perintah kawalan pergerakan.

Anjuran SIBS pada 2020 penuh cabaran, bukan sahaja ada batasan pergerakan tetapi juga kekangan teknologi untuk menganjurkan sidang kemuncak secara dalam talian. Bagaimanapun, akhirnya ia berjaya dilaksanakan.

Kemudian pada 2021, SIBS dilakukan dalam format fizikal dan maya. Walaupun pada November tahun lalu penganjuran ekspo boleh diadakan namun banyak sempadan antarabangsa masih ditutup. Justeru ia menyebabkan ramai pembeli antarabangsa tidak dapat ke Malaysia namun pertemuan dilakukan dalam talian.

Namun begitu, kami berjaya menganjurkan SIBS 2021 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dengan tatacara operasi piawai (SOP) ketat dan menerima lebih 25,000 pengunjung.

Orang ramai melawat gerai pameran sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2021 pada 18 November 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Industri kecil sederhana (IKS) adalah antara kumpulan paling terjejas ketika pandemik. Mereka juga peserta terbesar SIBS iaitu bagi kategori makanan dan minuman. Bagaimana penyertaan ini membantu memulihkan kembali perniagaan mereka?

SIE pada 2021 merekodkan jumlah pelawat perdagangan yang tinggi termasuk bagi pembelian. Ramai daripada mereka memperbaharui aktiviti pembelian dan mencari produk serta pembekal baharu kerana beberapa pembekal sebelumnya telah menutup operasi akibat pandemik.

Sementara itu SIE pada 2022 akan terus menjadi platform untuk mereka mencari pembekal baharu. Untuk tahun ini, kami telah mengesahkan kehadiran penglibatan tujuh pasar raya besar ke ekspo kali ini. Selain itu, 200 pembeli perdagangan tempatan dan antarabangsa telah pun mendaftar kehadiran untuk acara SIE, berbanding 107 tahun lepas.

Memandangkan SIBS juga akan dibuka kepada pelawat awam pada dua hari terakhir, pempamer berpeluang memperkenalkan produk dan perkhidmatan mereka kepada orang ramai. Sejak Covid-19 melanda, banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengembangkan perniagaan mereka ke platform digital termasuk Shopee dan Lazada. Cara ini membolehkan PKS meningkatkan jualan langsung melalui platform digital.

Bagaimana Dato’ melihat potensi Selangor membawa sidang kemuncak ini ke peringkat ASEAN? Bagaimana pula dari segi import dan eksport negara?

Selangor berhasrat untuk menjadi pintu masuk ASEAN. Dengan menganjurkan SABC di SIBS setiap tahun, ia memberi peluang kepada peserta dan wakil Selangor untuk berbincang dan meneroka cabaran dan peluang dalam pasaran serantau. SABC membawa masuk ahli panel ekonomi dan perniagaan utama yang membawa perspektif baharu.

Data perdagangan luar selama tempoh lapan bulan (Januari hingga Ogos 2022) yang dikeluarkan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) baru-baru ini mendedahkan ASEAN terus menjadi pasaran utama untuk Malaysia mengeksport hampir 30 peratus jumlah eksport keseluruhan. ASEAN juga merupakan sumber utama import, menyumbang lebih 23 peratus daripada jumlah import Malaysia dalam tempoh yang sama.

Pada waktu ini, berlaku peningkatan pelaburan bagi penyedia logistik di Selangor untuk menampung permintaan tinggi. Ia juga mencerminkan kejayaan seterusnya mampu meletakkan Selangor sebagai pintu masuk ASEAN.

Apa enam komponen yang dipamerkan ketika SIBS nanti?

Pertama, SIE iaitu fokusnya kepada makanan dan minuman dengan bertemakan ‘Inspire F&B Business Beyond’, babitkan 421 reruai. SIE Perubatan babitkan 82 reruai, ketiga Spark melibatkan 121 reruai. Keempat SABC dengan tema jumpa, kongsi dan labur. Kelima ialah SDEC dengan 100 reruai dan terakhir SRIE dengan 120 reruai.

Dato’ Teng Chang Khim (tengah) diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad Dato’ Hasan Azhari Idris (kiri) melawat gerai pameran pada Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2021 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 20 November 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Selain meningkatkan pertumbuhan ekonomi, ada sasaran lain Kerajaan Negeri dalam penganjuran konvensyen ini?

Selain daripada meningkatkan pertumbuhan ekonomi, SIBS sebenarnya mampu meletakkan nama Selangor sebagai kuasa ekonomi di rantau ini, bukan sekadar bersaing dengan negeri-negeri lain dalam Malaysia, tetapi dengan bandar-bandar di rantau ASEAN.

Menerusinya juga kita mampu menyediakan platform untuk pemimpin perniagaan berkumpul menerusi acara tahunan sebegini. Ia juga melibatkan pemain industri dan wakil negeri untuk berhubung dan membina rangkaian.

Dalam keadaan ekonomi semasa, seperti kemelesetan ekonomi yang akan berlaku, ringgit yang lemah, dan kemungkinan kelembapan ekonomi global, bagaimana Dato’ melihat kedudukan ekonomi Selangor dan Malaysia?

Kelembapan ekonomi dan mata wang yang lemah akan menjejaskan majoriti negara di rantau Asia. Bukan Malaysia sahaja negara yang bergantung dengan dolar Amerika Syarikat untuk melakukan transaksi perdagangan luar mereka.

Dalam merancakkan aktiviti ekonomi, Kerajaan Negeri memperkenalkan Rancangan Selangor Pertama (RS-1), pelan pembangunan lima tahun untuk membantu merangsang pembangunan di kawasan utama Selangor melibatkan sembilan sektor berimpak tinggi.

Rangka kerja RS-1 menawarkan pendekatan strategik dan holistik dengan visi untuk menjadi negeri berdaya huni, makmur dan pintar menjelang 2025. Ini akan dilakukan melalui pengukuhan ekonomi, meningkatkan kesejahteraan sosial, memajukan kelestarian juga melaksana tadbir urus yang bijak dan berkesan.

Pelan pembangunan ekonominya berdasarkan tiga faktor utama iaitu mengenal pasti sektor pertumbuhan tinggi untuk dimajukan lagi. Keduanya, kenal pasti sektor baharu yang mempunyai potensi untuk dikembangkan. Seterusnya memperkukuh sektor utama dan strategik, termasuk pelabuhan dan logistik, ekonomi digital, elektrik dan elektronik (E&E) dan mesin dan peralatan (M&E), sains hayat, pelancongan, aeroangkasa, automotif, industri halal dan agroteknologi.

Dengan inisiatif komprehensif dan agresif yang dilaksanakan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, Kerajaan Negeri yakin walaupun terdapat pelbagai senario ekonomi global, Selangor mampu mencapai sasaran jumlah pelaburannya pada 2022.


Pengarang :