Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berucap pada majlis perasmian Kempen Anti-Scam Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Johor Bahru pada 25 Jun 2022. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Culik warga Palestin: Polis nasihat orang ramai tidak timbulkan spekulasi

KUALA LUMPUR, 19 OKT: Orang ramai diminta untuk tidak menimbulkan spekulasi berhubung kes penculikan warga Palestin yang sudah dibawa ke mahkamah.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata sebarang spekulasi yang ditimbulkan itu boleh mengganggu siasatan dan mengelirukan masyarakat.

“Polis Diraja Malaysia masih meneruskan siasatan dan menunggu proses sebutan semula kes pada 15 Dis depan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Jumaat lepas, 11 individu termasuk seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret di sini di atas pertuduhan menculik seorang lelaki warga Palestin bagi mendapatkan maklumat berkaitan perisian yang digunakan untuk menggodam telefon bimbit.

Mereka ialah Edy Ko’im Said, 40; Mohamad Norakmal Hassan, 41; Dody Junaidi, 42; Tengku Arif Bongsu Tengku Hamid, 39; Mohamad Naziree Mustapha, 39; Faizull Hardey Mohd Isa, 40; Muhammad Iqmal Abdul Rahis, 25; Mohamad Sufian Saly, 23; Muhammad Al Hatim Mohd Fauzi, 21; Nidarahayu Zainal, 34, dan Raibafie Amdan, 39.

Mereka didakwa secara niat bersama telah menahan Omar Z. M. Albelbaisy Raeda untuk mendapat ganjaran iaitu rahsia maklumat membuat dan menyahaktif perisian komputer yang digunakan untuk menggodam telefon bimbit.

Pada 5 Okt lepas, media melaporkan polis menyelamatkan mangsa berumur 31 tahun itu sehari selepas diculik oleh individu yang menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire.

Mangsa diselamatkan selepas polis menahan 18 individu dalam operasi berasingan di Kuala Langat, Ampang dan Beranang di Selangor serta di Melaka bermula 29 Sept hingga 4 Okt.

– BERNAMA


Pengarang :