Aliran trafik kelihatan lancar di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan dari Kuala Lumpur menuju ke Seremban ketika tinjauan di Plaza Tol Sungai Besi pada 29 April 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Cuti tiga hari, lebuh raya utama dijangka sesak minggu ini

SHAH ALAM, 5 OKT: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangka jumlah kenderaan di lebuh raya kendaliannya meningkat sehingga 1.9 juta sehari berikutan cuti tiga hari mulai Jumaat.

Sehubungan itu, Ketua Kecemerlangan Operasinya Mohd Yusuf Abdul Aziz menasihatkan orang ramai merancang perjalanan masing-masing berikutan kesesakan sepanjang tempoh tersebut.

“Sejak beralih ke fasa endemik, PLUS merekodkan jumlah trafik harian seperti tempoh prapandemik iaitu 1.7 juta kenderaan setiap hari pada hari-hari biasa,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Beliau turut mencadangkan orang ramai menambah nilai kad Touch ‘n Go dan e-dompet bagi pengguna RFID selain memuat naik aplikasi PLUS bagi mendapatkan maklumat trafik terkini.

Mohd Yusuf menambah laporan trafik juga boleh didapati menerusi Twitter @PLUSTrafik, talian PLUS 1800-88-0000, Chatbot Putri dan papan tanda elektronik (VMS) di lokasi terpilih.


Pengarang :