Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin (empat, kanan) bergambar bersama penerima Bantuan Sekolah Negeri Selangor ketika Jelajah Selangor Penyayang Daerah Sepang di Kota Warisan, Sepang pada 30 Oktober 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Dana negeri bantu pengusaha tahfiz tambah kemudahan, bilangan kelas

SEPANG, 30 OKT: Bantuan Kerajaan Selangor melegakan pengusaha sekolah agama dan maahad tahfiz negeri ini yang berdepan kekangan dana untuk menambah baik kemudahan di institusi masing-masing.

Tenaga pengajar Madrasah Uthmaniyah Smart Tahfiz Wan Abdul Baith Izzudin Mustapha bersyukur menerima dana berjumlah RM40,000 yang akan memanfaatkan seluruh warga institusi di dua cawangan dekat Bangi.

Wan Abdul Baith Izzudin Mustapha. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI

“Insya-Allah bantuan akan kami gunakan sebaik mungkin terutama membaik pulih kemudahan yang ada selain meningkatkan aspek keselamatan seperti kamera litar tertutup (CCTV) di institusi ini.

“Kami juga akan melaksanakan program kesihatan dan kebajikan khusus untuk semua 200 pelajar. Terima kasih Kerajaan Negeri, semoga terus tekad membantu maahad tahfiz di Selangor,” katanya ketika ditemui.

Terdahulu, bantuan diserahkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sempena Jelajah Selangor Penyayang peringkat daerah Sepang di KIP Mall Kota Warisan dekat sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Guru Kelas Agama dan Fardu Ain (Kafa) Integrasi Baitul Hikmah Sepang berkata dana diperoleh digunakan untuk membaik pulih kemudahan di sekolah terbabit demi keselesaan kira-kira 800 pelajar mengikuti sesi pembelajaran.

Siti Asmiah Sarkawi. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI

Menurut Siti Asmiah Sarkawi, pihaknya mengesan banyak kerosakan di sekolah yang terletak di dua unit bangunan rumah kedai sebaik sesi persekolahan dibuka selepas pascapandemik terutama bahagian bumbung dan tandas.

“Kami mahu baiki kerosakan supaya murid-murid dapat belajar dengan selesa. Jemaah pengurusan sekolah juga sedang berusaha membeli lagi unit bangunan rumah kedai bagi menampung pertambahan pelajar.

“Alhamdulillah, kami berterima kasih atas bantuan pertama kali daripada Kerajaan Selangor termasuk orang ramai dan agensi yang menyumbang dalam menjayakan hasrat kami,” katanya.

Mohd Hanif Malik Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI.

Bagi tenaga pengajar Maahad Tahfiz At-Tayyibah, Dengkil Mohd Hanif Malik, dana RM5,000 boleh digunakan untuk membaiki kerosakan kecil di sekolah yang beroperasi sejak sedekad lalu selain agihan bantuan kepada pelajar dan asnaf.

“Kami berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana sudi membantu pengusaha tahfiz dan sekolah agama di daerah ini. Sudah pasti bantuan memberi manfaat khususnya pelajar yang kini mencecah 70 orang.

“Bantuan RM5,000 ini besar maknanya bagi pusat pengajian ini. Semoga bantuan ini memberi keselesaan kepada pelajar untuk menuntut ilmu,” katanya.


Pengarang :