EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni (tengah) bergambar bersama selepas majlis penyerahan sumbangan kewangan kepada 43 pelajar yang terlibat dalam kebakaran di Sekolah Agama Menengah Sultan Hisamuddin di Sungai Bertih, Klang pada 21 Jun 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDAPATPILIHAN MINGGUANRENCANA

Dana tahunan lebih RM100 juta bukti negeri tidak abai sekolah agama

Peruntukan tahunan lebih RM100 juta khusus untuk sekolah rendah agama di Selangor sejak 2019 hingga kini menjawab segala tohmahan bermotif politik yang pernah dilemparkan terhadap Kerajaan Negeri.

Sekitar November 2020, ada pihak menuduh Kerajaan Selangor hanya memperuntuk sejumlah kecil untuk kerja membaiki infrakstruktur untuk pendidikan Islam bawah Program Bantuan Sekolah.

Mereka cuba membangkitkan kemarahan ramai, khususnya masyarakat Melayu-Islam dengan membandingkan peruntukan institusi pendidikan yang lain.

Hakikatnya mereka menyembunyikan pelbagai fakta, tidak menjelaskan perkara sebenar dan menyebarkan berita palsu. Contohnya, tidak disebut pun dana untuk membayar gaji ribuan guru sekolah rendah agama, Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) dan Kelas al-Quran dan Fardu Ain Integrasi (Kafa-i).

Dakwaan mereka juga tidak menyatakan inisiatif negeri menyediakan kemudahan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada guru sekolah agama. Kerajaan Selangor selangkah ke hadapan menyediakan perlindungan untuk kumpulan itu.

Sebenarnya sumbangan untuk pendidikan Islam perlu dilihat secara menyeluruh, mengambil kira ekosistem persekolahan pelajar. Bukan aspek tertentu sahaja.

Mujur tohmahan dan sangkaan jahat pihak berkenaan tidak diterima ramai. Rakyat menjadi saksi dengan melihat sendiri keazaman Kerajaan Negeri memartabatkan pendidikan Islam dari peringkat rendah.

Manfaat 85 sekolah

Usaha itu dilakukan tanpa menjejaskan institusi lain. Ia perlu bergerak seiring bukan sahaja untuk melahirkan individu berkemahiran tetapi mempunyai nilai murni menerusi didikan agama.

Malah, usaha itu turut mendapat perhatian Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj. Baginda berkenan dengan langkah Kerajaan Negeri membelanjakan RM1.1 juta untuk caruman Perkeso kepada 4,200 guru Kafa.

“Beta amat berkenan dengan langkah Kerajaan Negeri memperkenalkan caruman Perkeso kepada 4,200 guru Kafa. Langkah ini bagi memastikan kebajikan warga pendidik terus dijamin dan dipelihara,” titah Sultan Sharafuddin pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor ke-14 pada 23 Ogos tahun lalu.

Murid sekolah rendah agama, Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa). Foto REMY ARIFFIN/SELANGORKINI

Sebenarnya, Kerajaan Selangor tidak bersendirian dalam memperkasa pendidikan Islam. Agensi dan anak syarikat negeri seperti Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI turut memikul tanggungjawab itu.

Menurut Ketua Tanggungjawab Sosial Korporatnya Ahmad Azri Zainal Nor, pihaknya berbelanja RM841,900 untuk meringankan beban sekolah rendah agama. Ia memanfaatkan 85 premis sejak 2019 hingga kini.

Sumbangan itu membolehkan sekolah itu menjalankan program motivasi, baik pulih kemudahan, pembelian peralatan seperti komputer dan sumbangan kepada murid kurang berkemampuan.

Menjengah ke masa depan, Kerajaan Negeri pastinya terus melihat kepentingan pendidikan Islam tanpa menjejaskan institusi lain. Ia dapat dilihat apabila jumlah peruntukan naik dari semasa ke semasa (rujuk jadual).

Ia selaras usaha meningkatkan syiar Islam yang salah satu cabangnya adalah pendidikan. Aspek itu menjadi keutamaan Kerajaan Negeri dalam mengagihkan hasil atau kekayaan dengan rakyat secara keseluruhannya.


Pengarang :