EXCO Pembangunan Sosio Ekonomi V Ganabatirau melihat peserta menjahit langsir menggunakan mesin yang disumbangkan dalam program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Daerah Hulu Langat di kuarters Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat, Bangi pada 11 November 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Dana tambahan jaya program berdaya, sosio ekonomi bantu lebih ramai usahawan

SHAH ALAM, 4 OKT: Belanjawan Selangor 2023 yang dijadual dibentang akhir bulan ini disaran menyediakan peruntukan tambahan bagi program di bawah portfolio pemberdayaan, pembangunan sosio ekonomi dan kerajaan prihatin.

Memberi contoh program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan, EXCOnya V Ganabatirau berkata tambahan dana bakal memanfaatkan lebih ramai usahawan mendapat perkakas niaga untuk menjalankan perusahaan.

“Program ini diperkenal pada 2008 dengan dana RM2 juta setiap tahun dan kekal hingga sekarang. Diharap belanjawan kali ini ada pertimbangan untuk dinaikkan memandangkan jumlah permohonan bertambah,” katanya ketika dihubungi.

Pada masa sama, beliau berharap dana bagi program Jom Shopping perayaan dan Skim Mesra Usia Emas (SMUE) dapat ditingkatkan supaya lebih ramai golongan sasar dibantu.

Ganabatirau turut meminta peruntukan tambahan untuk melaksanakan karnival kerjaya melalui Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS) sekali gus mengatasi masalah pengangguran di negeri ini.

“Sebelum ini kita sudah mengadakan karnival kerjaya dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan termasuk Jabatan Tenaga Kerja dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di sembilan daerah.

“Jadi besar harapan saya agar perkara ini dipertimbangkan. Penganjurannya terbukti berkesan apabila kira-kira 2,500 individu mendapat tempat dalam pasaran kerja hasil penyertaan lebih 60 syarikat pelbagai sektor,” katanya.

Dalam pada itu, beliau yang juga wakil rakyat Kota Kemuning turut meminta tambahan dana bagi memenuhi keperluan rumah ibadat bukan Islam terutama India.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dijadual membentang belanjawan tahunan di Dewan Negeri Selangor pada 28 Oktober.

Pembentangan boleh diikuti secara langsung melalui saluran SelangorTV (selangortv.my) dan Facebook Media Selangor (www.facebook.com/MediaSelangor).


Pengarang :