Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (empat, kanan) bersama Datuk Bandar dan wakil kerajaan melafaz ikrar Deklarasi Bandar Pintar Mampan ketika Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Selangor (SDEC) sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 6 Oktober 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Deklarasi bandar pintar mampan Selangor tumpu tujuh aspek

KUALA LUMPUR, 7 OKT: Seramai 20 pimpinan Kerajaan Negeri termasuk delegasi antarabangsa menyaksikan deklarasi Bandar Pintar Mampan Selangor di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam.

Lafaz deklarasi dipimpin Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Maklumat Ekonomi Digital Selangor (Sidec) Yong Kai Ping sempena Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor 2022.

Deklarasi itu menekankan tujuh aspek bagi pembangunan ekosistem bandar pintar selaras revolusi industri 4.0 (IR4.0) yang bakal memberi impak terhadap ekonomi, sosial dan alam sekitar.

Ia meliputi pendekatan inklusif terhadap pembangunan bandar pintar dengan menumpukan penyelesaian berteraskan rakyat, kesejahteraan dan kualiti hidup.

Selain itu, menghubungkan semua pihak berkepentingan sama ada sektor awam, swasta, pemain industri, warganegara dan ahli akademik untuk mengambil bahagian secara aktif bagi membangunkan ekosistem berkenaan.

Seterusnya meningkatkan kerjasama melalui empat cabang utama bandar pintar iaitu infrastruktur sosial, fizikal, institusi termasuk tadbir urus dan ekonomi untuk memaksimumkan kesan positif projek bandar pintar terhadap rakyat.

Turut digariskan kualiti dan kebolehcapaian perkhidmatan awam serta sosial di bandar pintar melalui penggunaan teknologi selain pertukaran amalan terbaik berkaitan e-kerajaan.

Deklarasi itu juga menggalakkan penggunaan tenaga inovatif termasuk tenaga boleh diperbaharui, kecekapan tenaga dan aplikasi teknologi bersih melalui pelbagai cara seperti pelaburan, pembiayaan serta perkongsian kepakaran teknikal.

Pada masa sama, mempromosi inovasi dan keusahawanan bagi membuka potensi teknologi digital dan syarikat baharu selain menggalakkan interaksi peringkat bandar ke bandar yang lebih besar melalui platform bandar pintar.


Pengarang :