Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof ketika sidang media mengenai serbuan dan tangkapan pusat panggilan sindiket penipuan tawaran kerja di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang pada 4 Ogos 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Dua beradik lelaki maut terkena renjatan elektrik ketika mandi

SEPANG, 1 OKT: Dua beradik lelaki maut akibat terkena renjatan elektrik ketika sedang mandi di dalam sebuah besen di perkarangan rumah mereka di Kampung Teras Jernang, Bandar Baru Bangi, dekat sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof dalam satu kenyataan hari ini berkata kedua-dua mangsa masing-masing berumur 10 dan sembilan tahun itu merupakan anak kedua dan ketiga daripada empat beradik.

Katanya, bapa mangsa yang merupakan pengusaha kedai makan mendapati anaknya sudah tidak bernyawa setelah kembali ke rumah daripada membeli barang manakala ibu mangsa berada di dalam rumah.

“Menurut bapa mangsa, anaknya meninggal dunia berpunca dari renjatan elektrik yang mengalir dari sebatang besi penyidai baju.

“Pihak Tenaga Nasional berhad (TNB) mengesahkan berlaku geseran dari wayar tepi rumah terus ke zink, menyebabkan wayar tersebut ‘luka’ dan arus elektrik mengalir melalui besi penyidai baju itu,” katanya dalam kenyataan.

Wan Kamarul Azran berkata hasil siasatan turut mendapati kedua-dua mangsa terkena renjatan elektrik apabila bersentuhan dengan besi penyidai baju yang berada di tempat mandi.

Menurut beliau, keadaan rumah tersebut juga agak berselerak dan tidak bersusun dengan besi terpakai kerana sebelum ini, bapa mangsa mempunyai bengkel kereta yang telah ditutup menyebabkan barang-barang yang terpakai dibawa balik ke rumah.

“Mayat kedua-dua mangsa akan dibedah siasat selepas ujian saringan Covid-19 di Hospital Serdang,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Kamarul Azran mengingatkan ibu bapa agar tidak membiarkan barangan elektrik dan pendawaian elektrik yang bocor di kawasan rumah.

– BERNAMA

 


Pengarang :