AGENDAJENAYAH

Dua pengawal peribadi disiasat kes pukul penunggang motosikal

KUALA LUMPUR, 29 OKT: Dua pengawal peribadi persendirian dipanggil polis semalam bagi memberi keterangan, membantu siasatan kes seorang lelaki cedera di kepala dan muka akibat dipukul di Flat San Peng, Jalan Gadek, di sini, Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya berkata kedua-dua lelaki berumur 23 dan 30 tahun itu, dipercayai bekerja dengan seorang pengarah syarikat swasta di ibu negara.

Beliau berkata selain dua individu itu, seorang rakan mangsa turut dipanggil bagi dirakam percakapan berhubung kejadian yang dipercayai berlaku kira-kira 10 malam itu.

“Rakaman percakapan pegawai perubatan bertugas juga sedang dirakam. Manakala, pengarah syarikat yang merupakan majikan kepada pengawal peribadi itu pula dalam tindakan untuk dipanggil polis,” katanya kepada Bernama hari ini.

Noor Dellhan berkata siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham lalu lintas dengan kedua-dua pihak yang dirakam perbualan, mendakwa mangsa dan suspek memandu secara cuai.

“Berdasarkan rakaman perbualan yang dibuat, mangsa mengalami kecederaan itu setelah dipukul dengan menggunakan helmet dan sebatang besi. Mangsa telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk dirawat dan dibenarkan keluar dari hospital pada Khamis lepas,” katanya.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan, dengan menggunakan senjata berbahaya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Dang Wangi di talian 03-2600 2222 atau hotline polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999.

Semalam, tular sebuah video berdurasi 48 saat di media sosial memaparkan mangsa yang menunggang motosikal, mengalami pendarahan di muka akibat cedera dipercayai dipukul dua pengawal peribadi berkenaan.

-BERNAMA


Pengarang :