Foto Facebook ASEAN
AGENDANASIONAL

Dua penyelidik wanita bangun alat kesan barah terima anugerah ASEAN

PUTRAJAYA, 29 OKT: Dua penyelidik wanita negara berjaya mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa apabila muncul pemenang dua kategori dalam The 8th Underwriters Laboratories-ASEAN-US Science Prize for Women 2022.

Mereka ialah timbalan ketua pegawai Saintifik Cancer Research Malaysia Dr Sok Ching Cheong dan Pensyarah dan Penyelidik Kanan Universiti Monash, Kampus Malaysia Dr Maxine Tan.

Dr Sok memenangi Kategori Saintis Kanan menerusi penyelidikan untuk membangunkan alat telerundingan, MeMoSA (Saringan Mulut Mudah Alih) yang merupakan platform kesihatan digital dipacu kecerdasan buatan (AI) bagi pengesanan awal kanser mulut.

Dr Tan pula memenangi Kategori Saintis Pertengahan Kerjaya menerusi penyelidikan pada pengimejan perubatan dan AI dengan membangunkan model penilaian risiko jangka pendek kanser payudara pertama berdasarkan mamografi dan ciri-ciri klinikal serta demografik.

Menerusi kenyataan media hari ini, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba menyifatkan kejayaan itu sebagai pendorong kedua-dua penyelidik mencapai tahap lebih tinggi dalam penyelidikan saintifik.

“Kejayaan ini diharap menjadi sumber inspirasi untuk menyemarakkan lagi minat dalam kalangan institusi penyelidikan negara dan para penyelidik negara khususnya saintis wanita untuk menyumbang lebih banyak penyelidikan yang berkualiti dalam bidang sains, teknologi dan inovasi,” katanya.

The 8th Underwriters Laboratories-ASEAN-US Science Prize for Women 2022 bertemakan Kecerdasan Buatan dalam Kesihatan dan Keselamatan merupakan program kerjasama Jawatankuasa Sains, Teknologi dan Inovasi ASEAN, Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat dan Underwriters Laboratories yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

-BERNAMA


Pengarang :