Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah melakukan pemantauan di sekitar Sungai Anak Bukit, Alor Setar berikutan air sungai mencatatkan paras waspada pada 9 Oktober 2022. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Dua pusat pemindahan di Kedah ditutup, 76 mangsa banjir dibenar pulang

ALOR SETAR, 27 OKT: Dua pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di daerah Padang Terap malam tadi ditutup sepenuhnya pada pukul 1 tengah hari tadi.

Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata 76 mangsa daripada 23 keluarga yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tualak dan SK Perik itu telah dibenarkan pulang.

“Sejak dibuka pada pukul 11.46 malam tadi, seramai 43 orang daripada 15 keluarga ditempatkan di PPS SK Tualak manakala 33 orang daripada lapan keluarga ditempatkan di SK Perik berikutan banjir akibat hujan lebat sejak 5 petang, semalam.

“Keadaan cuaca hari ini baik dan air telah surut, jadi kesemua mangsa telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata jumlah mangsa yang ditempatkan di PPS SK Binjai di Kubang Pasu telah berkurangan kepada 87 orang daripada 27 keluarga setakat pukul 1 tengah hari berbanding 91 mangsa daripada 28 keluarga, pagi tadi.

– BERNAMA

 


Pengarang :