Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan cek cura RM15,000 kepada wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Teluk Rhu pada Majlis Penyampaian Surat Kelulusan Pemberimilikan Tanah (Borang 5A) Parit 8 1/2 Barat Mukim Sabak sempena Jelajah Selangor Penyayang di Masjid Jamek Sultan Hishamuddin, Sabak Benam pada 14 Oktober 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Dua sekolah, sebuah masjid di Sabak Bernam terima dana tingkat prasarana RM28,000

SABAK BERNAM, 14 OKT: Dua sekolah dan sebuah masjid di daerah ini menerima sumbangan pembaikan prasarana RM28,000 daripada Menteri Besar (Pemerbadanan) atau MBI hari ini.

Menerusi sumbangan itu, Sekolah Kebangsaan Teluk Rhu menerima RM15,000 manakala Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Mustaffa (RM8,000) dan Masjid Nurul Hidayah (RM5,000).

Sumbangan disempurnakan Dato’ Menteri Besar di Masjid Jamek Sultan Hishamuddin, Pekan Sabak sempena Jelajah Selangor Penyayang di daerah itu.

Dalam majlis sama, Dato’ Seri Amirudin Shari turut menyampaikan sumbangan khas Dato’ Menteri Besar bernilai RM10,000 kepada Masjid Jamek Sultan Hishamuddin.

Terdahulu, Amirudin menyampaikan surat kelulusan Pemberimilikan Tanah (borang 5A) kepada 73 penduduk di Parit 8 1/2 Barat Mukim Sabak.

Beliau kemudiannya menyertai penduduk menjamu selera dalam kenduri rakyat sebelum menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyantuni penerima Surat Kelulusan Pemberimilikan Tanah (Borang 5A) Parit 8 1/2 Barat Mukim Sabak selepas majlis penyerahan surat kelulusan tersebut sempena Jelajah Selangor Penyayang di Masjid Jamek Sultan Hishamuddin, Sabak Benam pada 14 Oktober 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Sementara itu, Pegawai Tadbir Agama Sabak Bernam Mohamed Mekkah Husin berterima kasih kepada Dato’ Menteri Besar atas sumbangan khas yang diberi kepada Masjid Jamek Sultan Hishamuddin.

“Alhamdulillah, kami bersyukur apabila menerima sumbangan khas bernilai RM10,000. Kita sememangnya memerlukan bantuan untuk beberapa penambahbaikan untuk masjid.

“Sumbangan ini akan digunakan untuk menaik taraf bumbung kubah yang ada berlaku sedikit kerosakan. Selain itu, kita juga akan menambah baik beberapa fasiliti masjid untuk keselesaan para jemaah,” katanya.


Pengarang :