Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada program Jom Shopping Deepavali DUN Sungai Tua di Sri Ternak, Gombak pada 16 Oktober 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

DUN Sungai Tua tambah 200 baucar beli-belah Deepavali

GOMBAK, 16 OKT: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua menambah 200 baucar Jom Shopping bernilai RM100 sempena sambutan perayaan Deepavali tahun ini.

Dato’ Menteri Besar yang juga wakil rakyat kawasan berkenaan berkata tambahan menerusi peruntukan DUN bagi membantu lebih ramai keluarga India menyediakan kelengkapan raya.

“Kita terima 400 baucar dari skim Jom Shopping Perayaan namun kita tambah lagi supaya lebih ramai keluarga berpendapatan rendah (B40) dibantu. Memang setiap tahun kita gunakan peruntukan DUN untuk tujuan ini.

“Inisiatif membolehkan mereka mengurangkan berbelanja ketika menyediakan keperluaan Deepavali. Sekarang harga barang juga naik seperti ayam dan telur,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari pada majlis agihan baucar di Pasaraya Sri Ternak Selayang Baru hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama penerima baucar pada program Jom Shopping Deepavali DUN Sungai Tua di Sri Ternak, Gombak pada 16 Oktober 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Sebelum ini, Setiausaha Politik Kawasan Dato’ Menteri Besar A Rahim Kasdi berkata lebih 400 baucar bakal diagih bagi meringankan beban belanja penduduk dalam menyambut Deepavali.

Jelasnya tambahan baucar akan dibuat memandangkan terdapat ramai keluarga India dalam kategori B40 di DUN berkenaan.

Jom Shopping Raya diperkenalkan Kerajaan Negeri menyasar golongan berpendapatan rendah sebagai inisiatif jangka panjang bagi membela kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Serahan bantuan dibuat melalui pusat khidmat masyarakat di kawasan masing-masing mengikut komponen utama kaum dan sambutan perayaan.

Tahun ini, sebanyak RM8 juta dikhaskan untuk program Jom Shopping semua perayaan dengan RM3.34 juta dikhaskan sempena Aidilfitri pada Mei.


Pengarang :