Orang ramai membeli barangan keperluan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran menerusi program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Jeram di Dewan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) Desa Coalfields, Kuala Selangor. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Ekonomi meningkat, negeri perbanyak program untuk rakyat

SHAH ALAM, 17 OKT: Selangor banyak menyediakan program yang memberi manfaat terus kepada rakyat secara holistik tanpa mengira fahaman politik.

Menurut Parti Keadilan Rakyat Selangor, antara usaha dibuat ialah Jelajah Ehsan Rakyat (JER) yang memberi dampak besar tatkala berdepan kenaikan harga barang.

“Melalui JER, warga Selangor berpeluang menikmati barangan makanan mentah dan asas pada harga cukup rendah berbanding pasaran,” kata Timbalan Pengarah Komunikasinya Adzman Kamaruddin.

Dalam kenyataannya, beliau menjelaskan prestasi ekonomi negeri juga meningkat hasil kerjasama berpasukan dengan program kebajikan ditambah sejak 2008.

Beliau berkata Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari turut berjaya mengurus sumber negeri dengan cemerlang semasa Covid-19 apabila melaksana pakej ekonomi bersasar.

“Selangor makmur bukan hasil kejayaan individu tetapi usaha berpasukan. Pascawabak menyaksikan bagaimana Amirudin dan pasukan pentadbiran berjaya mengurus sumber negeri dengan cemerlang.

“Pakej rangsangan bersasar seperti Pakej Kita Selangor 1.0 dan 2.0 memberi dampak besar kepada pemulihan ekonomi negeri dan rakyat,” kata Adzman.

Semalam, Dato’ Menteri Besar memaklumkan prestasi ekonomi Selangor lebih baik selepas 2018 hasil kerja berpasukan seluruh pemimpin negeri.

Menjawab tohmahan negeri merosot, beliau berkata negeri pimpinannya turut menyumbang 24.8 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2021 berbanding 23.2 pada 2017.

 

 


Pengarang :