Pengarah Urusan E E World Sdn Bhd, Siti Sharizah Saifuddin atau Eja menunjukkan produknya sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 7 Oktober 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Ekspo niaga buka ruang Eja perkenal produk sambal, lonjak jualan

KUALA LUMPUR, 10 OKT: Ekspo Antarabangsa Selangor (SIE) membuka ruang buat aktres jelita Eja meluaskan empayar Eishal’s by Eja yang dibina sejak awal tahun ini ke peringkat lebih tinggi.

Biarpun masih dalam fasa bertatih, pemilik nama sebenar Siti Shahrizah Saifuddin, 50, optimis ekspo sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2022 mampu melonjakkan permintaan sambal diusahakannya.

Pelakon wanita terbaik festival filem ke-24 menerusi filem Janin berkata sambal yang didatangkan dalam empat perisa iaitu petai, kicap, mangga dan limau sudah berada di rangkaian pasar raya utama seluruh negara.

“Kini banyak produk tempatan menembusi pasaran antarabangsa seperti United Kingdom dan Dubai. Sebab itu pentingnya ekspo seperti ini dan saya juga mengintai peluang sama, cuma ia memerlukan modal besar apatah lagi masih baharu dalam bidang ini. Insya-Allah perlahan-lahan dengan izinNya.

“Setakat ini produk saya sudah masuk ke pasaran Cambodia selain 30 cawangan Village Grocer dan The Food Merchant, Bukit Jalil,” katanya ditemui di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Eja berkata sudah tiba masanya untuk beliau meneroka bidang yang baharu selepas lebih dua dekad berada dalam dunia glamor apatah lagi puteri tunggalnya Nur Eisyal Mohd Silahuddin, 13, semakin membesar dan memudahkannya untuk mengurus perniagaan.

“Faktor itu yang mendorong saya ambil keputusan untuk menceburi bidang perniagaan. Idea mengusahakan sambal pula kerana kita tahu rakyat Malaysia terutama masyarakat Melayu amat menggemarinya.

“Jadi saya nampak pasarannya amat luas. Bagi saya, setiap rumah mesti ada sambal terutama apabila tengah bulan ramai yang memilih untuk makan makanan yang jimat dan murah,” kata Pengarah Urusan E E World Sdn Bhd itu.

SIBS berlangsung mulai Khamis hingga semalam menyasarkan 30,000 pengunjung dan setakat dua hari penganjurannya sejumlah RM1.12 bilion nilai transaksi berjaya diperoleh.

Tahun ini persidangan menampilkan enam acara utama iaitu Ekspo Antarabangsa Selangor (Makanan dan Minuman), Ekspo Antarabangsa Selangor (Perubatan) dan Ekspo Taman Perindustrian Selangor.

Progam Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor, Ekspo Penyelidikan dan Pembangunan serta Inovasi Selangor dan Persidangan Perniagaan Asia turut diketengahkan.


Pengarang :