Aksi pemain Malaysia ketika perlawanan bertemu Thailand dalam Kejohanan Piala Raja Thailand yang berlangsung Stadium 700th Anniversary of Chiang Mai, Thailand pada 22 September 2022. Foto Facebook FAM
AGENDASUKANKINI

Elak insiden rusuhan, FAM kaji SOP penonton masuk stadium

KUALA LUMPUR, 2 OKT: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan memperketatkan kawalan masuk ke stadium sebagai mengambil iktibar daripada insiden rusuhan di Indonesia malam tadi.

Setiausaha Agung FAM Noor Azman Rahman berkata walaupun Malaysia mempunyai kawalan keselamatan yang baik di stadium, langkah berjaga-jaga perlu bagi mengelakkan insiden di Stadium Kanjuruhan, Malang, Jawa Timur yang meragut ratusan nyawa itu, daripada berlaku di negara ini.

Selain itu, beliau berkata FAM turut akan meneliti semula tatacara operasi piawai (SOP) kemasukan penyokong ke dalam stadium.

“Memang kami di pihak persatuan (FAM) dan jawatankuasa keselamatan sentiasa berhati-hati. Saya sendiri yakin dengan jawatankuasa keselamatan FAM di bawah Datuk Seri Hazani Ghazali melaksanakan tugas mereka selama ini,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Menurut laporan media, insiden di Stadium Kanjuruhan itu tercetus apabila penyokong Arema FC merusuh selepas pasukan mereka tewas 3-2 ke atas Persebaya Surabaya dan setakat ini dilaporkan 129 maut manakala 180 lagi cedera.

Noor Azman pada masa sama berkata insiden di negara jiran itu perlu dijadikan pengajaran buat penyokong bola sepak tanah air supaya sentiasa menunjukkan semangat kesukanan tinggi, selain perlu bersikap terbuka ketika hadir menyaksikan sebarang perlawanan.

Dalam pada itu, beliau berkata FAM turut berdukacita dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam tragedi tersebut.

“Kami amat bersimpati dengan apa yang berlaku di Malang semalam dan dengan semangat setiakawan sebagai negara serumpun saya mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dengan tragedi itu,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :