Penggemar sukan lasak sentiasa mencabar kebolehan diri dengan mengharungi laluan berliku seperti terdapat di Bukit Broga, Hulu Langat. Foto Arkib Selangorkini
AGENDANASIONAL

Elak risiko musim tengkujuh, aktiviti dalam hutan dilarang tiga bulan mulai 1 November

Oleh SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

SHAH ALAM, 13 OKT : Semua aktiviti pendakian dan rekreasi di Hutan Simpanan Kekal di Selangor ditutup sementara mulai 1 November bagi mengelak risiko musim tengkujuh.

Jabatan Perhutanan Negeri Selangor menerusi notis di laman Facebook memaklumkan, penutupan itu berkuat kuasa hingga 31 Januari 2023.

“Dimaklumkan semua laluan pendakian dan aktiviti rekreasi di Hutan Simpanan Kekal di Selangor tidak dibenarkan dan ditutup kepada pengunjung.

“Penutupan ini adalah sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelak sebarang kejadian atau kemalangan tidak diingini berikutan musim tengkujuh,” katanya.

Jabatan Meteorologi Malaysia sebelum ini meramalkan negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November yang membawa kepada banjir besar pada penghujung bulan berkenaan.

Cuaca yang dialami dijangka memberi dampak lebih signifikan kerana Monsun Timur Laut yang aktif pada tempoh itu menyebabkan risiko tinggi berlakunya hujan lebat berterusan dan banjir berskala besar.


Pengarang :