BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Enam inisiatif Selangor bantu perkasakan wanita

Kebajikan wanita sering diberi perhatian khusus oleh pentadbiran Kerajaan Negeri sejak 2008. Pelbagai inisiatif dilaksana untuk mengembangkan potensi serta meningkatkan tahap sosioekonomi mereka.

Usaha itu dipergiat sejak 2018 dengan memperkenal Biasiswa Wanita Berdaya Selangor pada tahun lalu. Pada masa sama, RM200,000 diperuntuk kepada peserta Akademi Kepimpinan Wanita yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat diploma dan ijazah sarjana muda.

Kerajaan Negeri juga menyediakan pembiayaan khusus untuk kaum Hawa berniaga. Skim Niaga Darul Ehsan (NaDI) kendalian Yayasan Hijrah Selangor menawarkan sehingga RM5,000 sebagai modal awal atau dana mengembangkan perniagaan.

Skim berkenaan membantu 1,722 pemohon membabitkan perbelanjaan berjumlah RM8.61 juta pada tahun ini.

Pemerkasaan wanita melalui perniagaan diperkukuh dengan inisiatif Hasil Suri Selangor (HaSSel) dan Halal Suri. Ia landasan bagi usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) wanita memperkenal produk bagi tujuan komersial.

Statistik polis yang merekod 3,459 kes keganasan rumah tangga di Selangor selama tiga tahun bermula 2018 menjadi titik tolak buat Kerajaan Negeri melancarkan aduan khas dinamakan SELamat untuk melindungi wanita.

Dibangunkan dengan kos RM100,000, pengadu boleh menghubungi talian 03-6419 5027 untuk tindakan segera.

Kerajaan Negeri turut mewujudkan Dana Bantuan Guaman Selangor. Menerusi inisiatif itu, wanita boleh mendapatkan khidmat bantuan peguam secara percuma bagi kes membabitkan isu kekeluargaan.

Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) yang diperkenal Jun lalu turut dirasai wanita daripada keluarga berpendapatan rendah (B40). Mereka menerima RM300 sebulan atau RM3,600 setahun untuk membeli barangan keperluan keluarga.

Biasiswa lanjut pengajian

Peserta Akademi Kepimpinan Wanita (AKW) menghargai usaha Kerajaan Negeri menyediakan Biasiswa Wanita Berdaya Selangor yang memberi peluang melanjutkan pengajian dan mencungkil bakat kepemimpinan mereka.

Mereka menyifatkan inisiatif itu tanda keprihatinan kepada kaum Hawa sekali gus langkah tepat untuk mencapai sasaran 30 peratus wanita sebagai pembuat dasar.

Berikut pujian beberapa penerima biasiswa itu kepada Selangorkini pada 20 Oktober.

Mashitah Ismail (39 tahun)
Sarjana Sains Politik
Universiti Kebangsaan Malaysia

“Inisiatif Kerajaan Negeri memberi biasiswa ini membuktikan komitmennya untuk mempercepatkan sasaran 30 peratus wanita sebagai pembuat dasar di peringkat nasional dan negeri.

“Suara wanita akan diambil kira dalam semua platform sebelum sesebuah dasar diperkenalkan yang kesannya dirasai masyarakat dalam kehidupan seharian.”

Ariani Ahmad (43 tahun)
Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan
Universiti Terbuka Malaysia

“Program di Akademi Kepimpinan Wanita dan pemberian biasiswa memberi peluang kepada wanita bergerak lebih ke hadapan dengan mengembangkan bakat sedia ada.

“Sebenarnya ramai wanita mahu bersama-sama dalam pelbagai aktiviti termasuk pengurusan negeri tetapi sebelum ini kurang platform disediakan…Kerajaan Negeri sekarang nampak ruang itu dan cuba mengisinya.”

Aniza Mohamed Nawawi (48 tahun)
Diploma Pengurusan Sumber Manusia
Universiti Terbuka Malaysia

“Pemberian biasiswa ini membantu mencapai impian saya untuk melanjutkan pengajian. Pada 1999 saya terpaksa melupakan hasrat kerana kekangan kewangan dan perlu menguruskan keluarga.

“Tidak pernah ada istilah lewat bagi mencari ilmu dan saya kini lebih berkeyakinan untuk berdepan orang ramai termasuk kumpulan profesional bagi berkongsi idea.”

Noorzaimah Zainal Abidin (39 tahun)
Diploma Pengurusan
Universiti Terbuka Malaysia

“Kejatuhan perniagaan kek membuat saya hilang keyakinan untuk berusaha kerana terlalu sedih, tetapi dapat semula semangat selepas menyertai Akademi Kepimpinan Wanita yang turut menawarkan biasiswa.

“Saya mahu menggunakan peluang ini dengan sebaiknya. Selepas tamat pengajian saya berhasrat membantu komuniti di kampung saya selain terus memajukan perniagaan.”


Pengarang :