Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tiga,kiri) mendengar penerangan sejarah Batu Arang pada majlis pelancaran program Publisiti dan Penyertaan Awam Bagi Draf Rancangan Kawasan Khas Bandar Batu Arang 2030 di Galeri Batu Arang pada 21 Oktober 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

EXCO: Draff RKK Batu Arang lambang kesungguhan negeri lindungi alam, warisan negara

Oleh SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

SHAH ALAM, 22 OKT: Inisiatif Draf Rancangan Kawasan Khas (RKK) Bandar Batu Arang melambangkan kesungguhan Kerajaan Negeri untuk melindungi alam sekitar dan warisan negara dalam pembangunan masa hadapan.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata dokumen itu juga dijadikan sebagai rujukan kepada komuniti dan orang awam khususnya yang tinggal di kawasan berkenaan untuk mengurus dan menjaga warisan tapak tinggalan sejarah.

“Secara dasarnya, objektif RKK untuk merealisasikan perancangan yang disasarkan di peringkat nasional, negeri dan tempatan melalui Rancangan Fizikal Negara keempat, Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035 dan di peringkat Rancangan Tempatan.

“Penyediaan RKK juga merupakan sebuah pelan pengurusan pemuliharaan bagi perlindungan kawasan berkepentingan warisan, kawalan pembangunan tapak dan perancangan masa depan tanpa menjejaskan kriteria warisan tapak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (dua,kanan) ditemani EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han (kanan) menunjukkan buku Draf Rancangan Kawasan Khas Bandar Batu Arang ketika majlis pelancaran program Publisiti Dan Penyertaan Awam Bagi
Draf Rancangan Kawasan Khas Bandar Batu Arang 2030 di Galeri Batu Arang, Gombak pada 21 Oktober 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Mengulas lanjut, katanya drafberkenaan disediakan berdasarkan keperluan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) dan Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645).

“Selaras dengan ketetapan Akta 172, draf RKK hendaklah melalui proses publisiti dan penyertaan awam bagi memberi peluang kepada orang awam dan pihak berkepentingan untuk mengemukakan cadangan, maklum balas atau bantahan yang akan diambil kira dalam memuktamadkan draf RKK tersebut,” katanya.

Semalam, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari mempelawa orang awam memberi cadangan dan idea bagi menjayakan draf RKK Bandar Batu Arang 2030 yang boleh dikemukakan mulai 21 Oktober hingga 21 November ini.

Borang cadangan boleh dimuat turun melalui laman sesawang www.mps.gov.my dan sebarang pertanyaan lanjut hubungi 03- 61265874/ 5865/ 5872 atau emel [email protected]


Pengarang :