Orang ramai diingatkan untuk lebih berwaspada dan tidak terpengaruh dengan iklan dalam media sosial yang menawarkan lesen memandu tanpa perlu menghadiri kelas dan ujian memandu. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

EXCO: Waspada tawaran kerja gaji lumayan, elak ditipu sindiket

SHAH ALAM, 14 OKT: Orang ramai dinasihatkan untuk lebih berhati-hati menerima tawaran kerja bergaji lumayan terutama di luar negara bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail berkata tawaran diterima perlu disemak kesahihannya termasuk menyelidik maklumat syarikat yang menawarkan pekerjaan.

EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Jangan mudah percaya terhadap tawaran yang sewenang-wenangnya menjanjikan pekerjaan dengan pendapatan lumayan dan perlu memastikan tawaran itu benar-benar sahih selain mendapatkan maklumat mengenai syarat bekerja di negara yang ditawarkan.

“Sindiket penipuan pekerjaan ini menyasarkan mangsa dengan gaji yang lumayan dan mereka yang menjadi mangsa ini kebanyakannya  golongan muda.

“Ada yang ditipu oleh rakan sendiri dengan menawarkan peluang pekerjaan selepas diugut oleh pihak sindiket,” katanya di Facebook.

Dalam pada itu, Rodziah turut menggesa kerajaan mengetatkan garis panduan perjalanan rakyat selain tidak membenarkan mereka ke luar negara jika syarikat berkenaan tidak tersenarai dengan Kementerian Dalam Negeri.

Sebahagian daripada 24 rakyat Malaysia berjaya dibawa pulang dari Phnom Penh Kemboja yang menjadi mangsa penipuan tawaran pekerjaan ketika tiba di Balai Ketibaan Antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) pada 9 September 2022. Foto BERNAMA

Setakat 1 Oktober, seramai 261 mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja berjaya diselamatkan.

Sementara itu, keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mengesahkan lelaki yang meninggal dunia di Hospital Mae Sot berhampiran sempadan Thailand-Myanmar pada Mei lalu adalah warga Malaysia Goi Zhen Feng, yang dipercayai mangsa sindiket penipuan kerja.


Pengarang :