Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (HARAPAN) Fahmi Fadzil ketika berucap pada Ceramah Mega Jelajah Pakatan Harapan Selangor di Dewan Serbaguna Seksyen 7 Kota Damansara, Petaling Jaya pada 23 Julai 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Fahmi Fadzil: Turun kadar tol kesinambungan dasar Kerajaan HARAPAN

Oleh Khairul Azran Hussin

SHAH ALAM, 13 OKT: Pengumuman kerajaan sementara untuk menurunkan kadar tol lebuh raya adalah kesinambungan dasar yang dimulakan Pakatan Harapan (HARAPAN).

Pengarah Komunikasi Fahmi Fadzil berkata dasar rasionalisasi tol antara fokus utama yang dilaksana HARAPAN ketika menjadi kerajaan demi mengurangkan kos sara hidup rakyat.

“Tindakan perdana menteri sementara (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) turun kadar tol secara tidak langsung mengakui keputusan Kerajaan HARAPAN sebelum ini adalah dasar memanfaatkan kepada rakyat.

“Namun dalam masa sama, kita minta perdana menteri sementara untuk memberi penjelasan sama ada keputusan turunkan kadar tol dibuat sebelum atau selepas Parlimen dibubar.

“Ini kerana Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali ada menyatakan kabinet yang berfungsi sebagai kerajaan sementara tidak boleh membuat sebarang keputusan atau dasar,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Beliau mengulas pengumuman Ismail Sabri untuk menstruktur semula kadar tol empat syarikat konsesi lebuh raya kendalian Prolintas berkuat kuasa 20 Oktober ini.

Pengurangan tol melibatkan Lebuhraya Bertingkat Ampang–Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Kemuning–Shah Alam (LKSA) dan Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK).

Selain itu, kerajaan juga menurunkan kadar tol Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA) dan Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) di bawah Kumpulan IJM berkuat kuasa 1 Januari tahun depan.

Pada Februari 2020, Kerajaan HARAPAN mengumumkan pengurangan kadar tol sebanyak 18 peratus di semua lebuh raya milik PLUS Malaysia Bhd (PLUS).

Menteri Kewangan ketika itu Lim Guan Eng berkata pengurangan kadar tol adalah langkah secara berperingkat yang dilaksanakan HARAPAN bagi mencapai matlamat akhir untuk menghapuskan tol.


Pengarang :