Feri penumpang dengan lebih 500 penumpang dan kru dalam perjalanan dari Langkawi ke Kuala Kedah yang terkandas di muara Kuala Kedah sejak jam 3 petang, 23 Oktober 2022. Foto Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia
AGENDANASIONAL

Feri bawa 500 penumpang terkandas berjaya ditunda ke jeti Kuala Kedah

ALOR SETAR, 24 OKT: Sebuah feri penumpang dengan lebih 500 penumpang dan kru dalam perjalanan dari Langkawi ke Kuala Kedah yang terkandas di muara Kuala Kedah sejak jam 3 petang semalam berjaya dibawa merapat ke Jeti Feri Penumpang Kuala Kedah, malam tadi.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak, berkata feri itu ditunda bot tunda milik salah sebuah syarikat kargo di Kuala Kedah pada jam 9.25 malam manakala kesemua penumpang dan kru itu selamat.

Bagaimanapun, beliau berkata tiga penumpang dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini untuk pemeriksaan lanjut kerana salah seorang sakit berkaitan saraf manakala dua lagi mengalami simptom sesak nafas.

“Seramai 272 orang penumpang berjaya dibawa keluar secara berperingkat oleh bot PERKASA 1224 Maritim Malaysia, bot ronda PSC 19 PDRM serta bantuan daripada beberapa bot nelayan tempatan sekitar Kuala Kedah dan Yan, yang selebihnya penumpang berada dalam feri yang telah berjaya ditunda ini.

“Operasi memindahkan penumpang turut berhadapan detik sukar dan beberapa kali enjin bot pasukan penyelamat tersekat akibat air cetek dan permukaan lantai laut yang berselut namun operasi yang dikendalikan Maritim Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi ini selesai dan telah ditamatkan pada jaml 10 malam tadi,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Terdahulu, Jabatan Laut Malaysia melaporkan kepada Zon Maritim Kuala Kedah berkaitan sebuah feri penumpang Express Bahagia 98 terkandas di posisi 1.2 batu nautika dari Muara Kuala Kedah dengan melibatkan seramai 547 penumpang pada jam 4.15 petang tadi.

Noor Azreyanti berkata antara agensi dan jabatan lain yang terlibat bagi urusan pemindahan penumpang ialah Jabatan Laut Malaysia (JLM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan bomba.

-BERNAMA


Pengarang :