Penyokong Arema FC dan Persebaya Surabaya dikepung polis pencegah rusuhan yang melepaskan gas pemedih mata selepas pergaduhan tercetus pada perlawanan bola sepak di Jawa Timur, Indonesia pada 1 Oktober 2022. Foto Facebook Retro Bola Sepak
AGENDAGLOBAL

FIFA tidak kenakan hukuman ke atas Indonesia, kata Jokowi

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 8 OKT: Presiden Indonesia Joko Widodo mengesahkan negaranya tidak akan dikenakan hukuman oleh FIFA susulan tragedi 1 Okt di Stadium Kanjuruhan, Malang, Jawa Timur yang meragut 125 nyawa termasuk kanak-kanak.

Perkara itu disampaikan oleh Presiden FIFA Gianni Infantino menerusi surat kepada Joko Widodo yang lebih dikenali sebagai Jokowi.

“Berdasarkan surat tersebut, alhamdulillah bola sepak Indonesia tidak dikenakan sanksi oleh FIFA,” kata Jokowi dalam satu kenyataan, sambil menambah Infantino akan melawat Indonesia bulan ini atau November.

Beliau berkata Indonesia, FIFA dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) akan bekerjasama mentransformasikan bola sepak negaranya.

Perkara yang akan diberi perhatian termasuk jadual pertandingan, standard keselamatan stadium, prosedur operasi standard keselamatan serta sesi libat urus bersama pakar, kelab dan wakil penyokong.

– BERNAMA


Pengarang :