Duta Filipina ke Malaysia Charles C. Jose (tengah) merasmikan pembukaan Coconut Pavilion yang menampilkan pelbagai produk kelapa premium di Ekspo Antarabangsa Selangor (Makanan dan Minuman) sempena Sidang Kemuncak Peniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 6 Oktober 2022. Foto Facebook Norjamin Delos Reyes
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Filipina sertai Ekspo Antarabangsa Selangor, tampil produk kelapa premium

KUALA LUMPUR, 8 OKT: Filipina menyertai Ekspo Antarabangsa Selangor (SIE) Makanan dan Minuman (F&B) 2022 dari 6 hingga 9 Oktober dengan menampilkan Coconut Pavilion yang mempamerkan produk kelapa premium.

Pembukaan pavilion itu dirasmikan Duta Filipina ke Malaysia Charles C. Jose pada Khamis.

Pusat Perdagangan dan Pelaburan Filipina Jabatan Perdagangan dan Industri (DTI) di Kuala Lumpur (PTIC-KL) dalam satu kenyataan pada Sabtu memaklumkan sebanyak 16 pengeluar dan pengeksport kelapa Filipina (13 pempamer), dua pempamer untuk produk kopi manakala satu pempamer bagi produk koko menyertai ekspo kali ini.

Buat kali pertama pengeluar dan pengeksport terpilih diterbangkan khas oleh DTI untuk menyertai ekspo berkenaan, menurut kenyataan itu.

Coconut Pavilion menampilkan minyak kelapa dara (VCO), medium-chain triglycerides (MCT) dan produk kelapa lain yang bermutu tinggi bagi memenuhi peningkatan permintaan pengguna terhadap produk makanan yang lebih sihat.

“Kami berbesar hati untuk mengetengahkan produk kelapa premium Filipina di Ekspo Antarabangsa Selangor F&B 2022. Produk ini memberi banyak manfaat kesihatan…kami yakin produk ini dapat memenuhi cita rasa rakyat Malaysia,” kata Charles C. Jose.

Ekspo Antarabangsa Selangor (F&B) ialah pameran perdagangan makanan dan minuman utama yang menumpukan kepada industri makanan serta minuman global.

Kelapa paling banyak digunakan rakyat Malaysia pada 2020 mencecah 790 juta kilogram dan lebih US$1 bilion pendapatan eksport Filipina diperoleh daripada industri kelapa pada 2019. – BERNAMA


Pengarang :