Foto Facebook Galeri Shah Alam
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Galeri Shah Alam pamer 18 karya dua artis seni rupa minggu depan

SHAH ALAM, 6 OKT: Sebanyak 18 hasil karya dua artis seni rupa (perupa) tempatan bakal dipamerkan di Galeri Shah Alam bermula 11 hingga 28 Oktober ini.

Pengarah galeri Alina Abdullah berkata pameran bertajuk Cermin mengumpulkan sentuhan terbaik Atiqah Khairul Anuar dan Hannah Nazamil yang dibuka kepada awam dari 9 pagi hingga 5 petang.

“Program ini menjadi platform untuk dua perupa muda ini memperkenalkan karya kreatif mereka.

“Pameran ini menonjolkan praktis kedua-dua artis dalam berkarya. Atiqah lebih ke arah lukisan realistik manakala Hannah tertumpu kepada konsep abstrak,” katanya kepada SelangorKini.

Perasmian pameran akan disempurnakan Pengarah Urusan Awesome TV Johan Ishak pada 15 Oktober ini.

Galeri Shah Alam aktif menganjurkan pameran kesenian antaranya Pameran Seni Visual Endemik pada Ogos membabitkan 40 karya 21 pensyarah Jabatan Seni Visual Fakulti Komunikasi Seni Visual dan Pengkomputeran Universiti Selangor.

Turut diadakan Pameran Sembuh pada Jun yang menghimpunkan 45 karya catan, arca dan media baharu anak muda berusia enam hingga 30 tahun dari seluruh negara.


Pengarang :