Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran sempena program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Jeram di Dewan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) Desa Coalfields, Kuala Selangor. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Harap inisiatif diterus, jualan murah manfaat lebih 1,000 penduduk Jeram

KUALA SELANGOR, 11 OKT: Lebih 1,000 penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram memanfaatkan Jelajah Ehsan Rakyat sejak inisiatif tersebut dilaksanakan pada bulan lalu.

Penyelarasnya Nagmudin Hussain berkata setakat ini program jualan murah barangan asas tersebut sudah dianjurkan di empat lokasi dan mendapat sambutan menggalakkan.

Penyelaras DUN Jeram Nagmudin Hussain. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Untuk program akan datang, kita akan anjurkan di lapan lokosi terutama kawasan kediaman penduduk berpendapatan rendah.

“Antara lokasi dikenal pasti di Sungai Sembilang, Tambak Jawa, Felda Bukit Cherakah dan Simpang Tiga Jeram. Hebahan akan dibuat supaya tiada penduduk tertinggal,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau ditemui selepas meninjau program jualan di Dewan MDKS Desa Coalfield dekat sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata sambutan penduduk sangat memberangsangkan selain sanggup beratur seawal pagi membuktikan penduduk sememangnya memerlukan bantuan berkenaan.

“Ekonomi juga teruk ketika ini, mereka perlu berjimat untuk menyara keluarga. Jadi kita akan usaha untuk meneruskan program ini pada masa akan datang. Rata-rata rakyat mahu jualan murah diteruskan,” katanya.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM10 juta untuk program tersebut di 56 DUN mulai 6 September hingga 6 Disember melibatkan 160 lokasi.

Program dikendalikan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor menawarkan barang keperluan asas seperti ayam standard pada harga RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan).

Turut dijual pada harga murah ialah ikan kembung atau selayang dengan RM6 setiap pek, minyak masak 5kg (RM25) dan beras 5kg (RM10).

Petugas membuat persiapan barang jualan sempena program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Jeram di Dewan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) Desa Coalfields, Kuala Selangor. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

 


Pengarang :