Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Pahang Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Jelajah HARAPAN Pahang #MohTukor di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Mentakab, Pahang pada 19 Oktober 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

HARAPAN mampu tawan kubu kuat Umno berbekal semangat, kerja keras

MENTAKAB, 20 OKT: Pakatan Harapan (HARAPAN) mampu menawan Pahang pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) berbekalkan semangat dan kerja keras semua pihak.

Berikutan itu, Pengerusi HARAPAN Pahang Dato’ Seri Amirudin Shari menuntut sokongan berterusan rakyat bagi menembusi negeri yang juga kubu kuat Umno sejak sekian lama.

“Saya yakin dengan semangat yang ada, insya-Allah Pahang boleh ditawan HARAPAN dalam PRU akan datang. Tetapi semua kena kerja keras, bantu dan jangan harapkan seorang sahaja.

“Kita kena buktikan kerana Pahang selalunya agak sukar untuk berubah. Kalau ada orang bagi salam, jawab Waalaikumsalam MohTukor. Kalau orang tanya apa khabar, jawab MohTukor. Biar terngiang-ngiang dan terbawa-bawa dalam mimpi MohTukor,” katanya.

Beliau berucap pada ceramah Jelajah HARAPAN Pahang di pekarangan pusat khidmat masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Mentakab dekat sini malam tadi.

Dalam pada itu, Amirudin mengakui wujud dakwaan gabungan tersebut tiada peluang untuk kembali menerajui pentadbiran negara selepas dilanda beberapa episod malang.

“Bermula dengan hilang kerajaan, gagal pertahan Warisan di Sabah dan kalah dengan kerusi yang sangat kecil. Mereka (Umno) jangka HARAPAN akan lumpuh, tidak mampu bangun dan bangkit semula.

“Umno-Barisan Nasional berusaha untuk pecahkan HARAPAN tetapi orang Temerloh dan Mentakab bagi keyakinan kuat kepada saya bahawa HARAPAN akan maju ke Putrajaya pada PRU akan datang,” katanya.

 


Pengarang :