AGENDANASIONAL

HARAPAN umum 14 calon kerusi parlimen Kedah kecuali Langkawi

SUNGAI PETANI, 30 OKT: Pakatan Harapan (HARAPAN) malam tadi mengumumkan senarai calonnya yang akan bertanding di 14 kerusi Parlimen di Kedah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 Nov ini.

Pengumuman dibuat oleh Ketua Penerangan HARAPAN Kedah Datuk Dr Ismail Salleh pada Majlis Pengisytiharan Calon HARAPAN Kedah di sini yang turut mengumumkan sembilan calon daripada PKR yang telah diumumkan semalam.

Lima lagi kerusi yang diumumkan malam ini ditandingi oleh empat calon daripada Amanah dan seorang calon DAP.

Bagaimanapun gabungan itu tidak mengumumkan nama calon bagi satu lagi kerusi di negeri itu iaitu Langkawi.

Empat calon daripada Amanah ialah Muaz Abdullah (Padang Terap), Datuk Mahfuz Omar (Pokok Sena), Datuk Latipah Mohamad Yatim (Sik) dan Johari Abdullah, (Baling) sementara Zulhazmi Shariff daripada DAP dicalonkan untuk bertanding di Jerai.

Pengerusi HARAPAN Kedah Datuk Mahfuz Omar ketika ditemui pemberita selepas majlis itu berkata calon HARAPAN bagi kerusi Langkawi akan diputuskan kemudian dan enggan mengulas sebab calon bagi kerusi itu tidak diumum malam tadi.

“Kita akan maklumkan nanti, sebelum penamaan calon nanti,” katanya.

Mengulas mengenai senarai calon HARAPAN di Kedah, Mahfuz berkata HARAPAN yakin dengan kehadiran muka baharu serta individu yang mempunyai pelbagai latar belakang akan mampu membawa sesuatu yang baharu kepada masa depan Malaysia.

Berikut adalah senarai calon HARAPAN bagi 14 kerusi Parlimen di Kedah:

1. Jerlun – Dr Mohamed Fadzil Mohd Ali
2. Kubang Pasu – Aizuddin Ariffin
3. Padang Terap – Muaz Abdullah
4. Pokok Sena – Datuk Mahfuz Omar
5. Alor Setar – Simon Ooi Tze Min
6. Kuala Kedah – Dr Azman Ismail
7. Pendang – Datuk Zulkifly Mohamad
8. Jerai – Zulhazmi Shariff
9. Merbok – Nor Azrina Surip
10. Sik – Datuk Latipah Mohamad Yatim
11. Sungai Petani – Dr Mohammed Taufiq Johari
12. Baling – Johari Abdullah
13. Padang Serai – M Karupaiya
14. Kulim Bandar Baharu – Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail


Pengarang :