Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua, kiri) pada Konvensyen Pakatan Harapan di Ipoh Convention Centre pada 20 Oktober 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

HARAPAN umum Anwar sebagai PM jika tawan Putrajaya

IPOH, 20 OKT: Pakatan Harapan (HARAPAN) menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai bakal Perdana Menteri sekiranya memenangi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Pengumuman dibuat Ketua Setiausaha Datuk Seri Saifuddin Nasution pada Konvensyen HARAPAN yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ipoh di sini malam ini.

“Membuat keputusan bahawa memasuki PRU15 kita menawarkan kepada rakyat satu nama jika mandat diberikan kepada kita, calon Perdana Menteri ialah Anwar Ibrahim,” katanya.

Beliau turut mengumumkan rundingan semua kerusi Parlimen sudah berjaya diselesaikan hasil perbincangan empat parti utama gabungan itu.

Majlis disertai lebih 7,000 ahli HARAPAN seluruh negara yang dihadiri Timbalan Presidennya Mohammad Sabu, Anthony Loke Siew Fook dan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Hari ini, Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 19 November sebagai hari mengundi bagi PRU15.

Penamaan calon diputuskan pada 5 November sementara pengundian awal pada 15 November dengan tempoh berkempen selama 14 hari.

Pelaksanaan pilihan raya itu melibatkan peringkat Parlimen seluruh negara dan negeri yang telah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Perak, Pahang dan Perlis.

Turut diadakan serentak adalah pilihan raya kecil (PRK) DUN Bugaya, Sabah.


Pengarang :