Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari (empat, kiri) bersama EXCO Perumahan Rodziah Ismail (dua, kiri) bergambar bersama Pengarah Eksekutif Yayasan Hijrah Selangor Dato’ Seri Mohamad Suparadi Md Noor (tiga, kiri) dan kakitangannya selepas merasmikan hiasan lantai tradisional rangoli atau kolam berbentuk bunga teratai sempena Deepavali 2022 di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 19 Oktober 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Hiasan kolam di bangunan Kerajaan Negeri lambang ceria dalam hidup

SHAH ALAM, 19 OKT: Hiasan lantai tradisional rangoli atau kolam di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah melambangkan keceriaan dalam kehidupan.

Eksekutif Program Pembangunan Usahawan India Selangor (Sitham) S Wasanthee berkata ukiran itu dihasilkan tiga individu berpengalaman dalam tempoh enam jam semalam.

Eksekutif Sitham, S Wasanthee

“Kolam rangoli ini dihasilkan setiap tahun dalam pelbagai bentuk dan kali ini bertemakan bunga teratai 12 kelopak yang membawa makna hidup yang berbunga-bunga dan penuh warna warni.

“Cahaya di tengah lampu pula melambangkan keceriaan dan kebahagiaan dalam sinaran hidup yang baharu bermula,” katanya ditemui pada perasmian kolam rangoli di sini hari ini.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar merasmikan hiasan lantai rangoli di bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri sempena sambutan Deepavali.

Dato’ Seri Amirudin Shari menyalakan lilin pada hiasan berbentuk bunga teratai yang diperbuat daripada beras berwarna-warni di pintu masuk bangunan tersebut.

Amirudin yang tiba pada jam 9 pagi diiringi EXCO Perumahan Rodziah Ismail dan Pengarah Eksekutif Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) Dato’ Sri Mohamad Suparadi Md Noor.

Kolam sinonim dengan perayaan Deepavali yang mana penganutnya akan menghiasi kediaman masing-masing sebagai tanda kesejahteraan kepada setiap isi rumah tersebut.


Pengarang :