Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof bercakap kepada Media Selangor selepas penyerahan sumbangan Baitulmal Majlis Agama Islam Selangor (Mais) di Bangunan Sultan Idris Shah, Shah Alam pada 13 Ogos 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Hormati titah Sultan, kekal harmoni dalam masyarakat berbilang bangsa dan agama

SHAH ALAM, 21 OKT: Orang ramai digesa menghormati titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor supaya meraikan perbezaan agama dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) berkata pihaknya menyokong titah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj itu dengan sikap hormat menghormati perlu diutamakan bagi memastikan keharmonian serta kedamaian dikecapi bersama.

“Keharmonian kita kekalkan, biarpun berbeza agama, keturunan, kebudayaan, bahasa dan latar belakang. Kita perlu sentiasa memelihara keharmonian dan perpaduan agar tidak bermusuh antara satu sama lain.

“Al-Quran juga ada menyebutkan dalam Surah Al-Kafirun: Ayat 6 yang menyatakan ‘untukmu agamamu dan untukku agamaku’. Perbezaan pegangan agama kepada kita, ia adalah merupakan suatu keistimewaan untuk penganut semua agama,” kata Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dalam kenyataan hari ini.

Pada 12 Oktober lalu, Sultan Selangor bertitah sempena ulang tahun ke-30 Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) berhubung keharmonian dalam perbezaan agama di negeri ini.


Pengarang :