Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barang keperluan asas walaupun keadaan hujan ketika program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Batu Tiga di Laman Tijarah, Klang pada 1 Oktober 2022. FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Hujan bukan halangan 300 penduduk Batu Tiga serbu jualan murah PKPS

KLANG, 1 OKT: Hujan pagi tadi tidak menghalang kira-kira 300 penduduk Kampung Kuantan di sini menyertai program jualan murah barangan asas anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

Ahli Dewan Negeri Batu Tiga berkata penduduk mula menyerbu Jelajah Ehsan Rakyat di tapak parking Masjid Kampung Kuantan seawal jam 8 pagi meskipun kaunter jualan hanya dibuka sejam selepas itu.

“Ini merupakan lokasi pertama dalam Batu Tiga dan kita akan teruskan empat program sama dalam masa terdekat. Antaranya di Kem Rimba dan Seksyen 18, Shah Alam.

“Program ini memberi penjimatan ketara berbanding jualan di luar. Pendudui terkejut apabila diberitahu harga belian daging, minyak, ayam dan beras antara RM50 hingga RM60,” kata Rodziah Ismail.

Penduduk menunggu giliran untuk membeli barang keperluan asas ketika program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Batu Tiga di Laman Tijarah, Klang pada 1 Oktober 2022. FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Beliau berkata program itu turut disertai Persatuan Cili Usahawan Tani Batu Tiga yang menjual hasil tanaman pada harga lebih rendah dari pasaran.

“Ini memudahkan penduduk mendapat keperluan asas lain. Kita galakkan lebih banyak pihak menyertai jualan ini supaya penduduk dapat menjimatkan belanja,” katanya.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM10 juta untuk program tersebut di seluruh 56 DUN mulai 6 September hingga 6 Disember ini melibatkan 160 lokasi.

Inisiatif dilaksana bagi membantu rakyat berdepan kenaikan harga barang itu memanfaatkan lebih 80,000 orang sejak diperkenal Disember tahun lalu.

Orang ramai boleh melayari laman sosial PKPS atau pautan https://linktr.ee/myPKPS untuk kemas kini lokasi jualan dari semasa ke semasa.


Pengarang :