Gambar hiasan. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Hulu Langat diramal ribut petir, hujan hingga 9 malam

SHAH ALAM, 13 OKT: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di Selangor membabitkan daerah Hulu Langat sehingga 9 malam ini.

Agensi itu menerusi Twitter memaklumkan keadaan sama dijangka berlaku di seluruh Perlis serta Kedah meliputi Kubang Pasu, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Sik dan Baling.

Perak pula di Hulu Perak, Kuala Langsar, Kinta dan Kampar; Kelantan (Jeli, Tanah Merah, Kuala Krai dan Gua Musang), Terengganu (Dungun dan Kemaman), Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Jerantut, Bentong, Temerloh, Maran, Kuantan dan Bera) serta Negeri Sembilan (Jelebu dan Jempol).

Manakala Sarawak pula melibatkan Samarahan (Simunjan), Sri Aman, Betong (Pusa dan Betong) dan Sarikei (Pakan dan Julau).

Menurut MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam (mm/jam) yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Ramalan ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang www.met.gov.my , media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.


Pengarang :