Yang Dipertua Pekawanis Datin Seri Masdiana Muhamad bercakap ketika program Bual Bicara ‘Wanita Nadi Keluarga Penyayang ‘ sempena Jelajah Selangor Penyayang di Stadium Sultan Suleiman, Klang pada 23 Oktober 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Ibu bapa disaran pamer teladan baik, bentuk institusi keluarga penyayang

Oleh SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

KLANG, 23 OKT: Ibu bapa disaran sentiasa memberi teladan baik agar sahsiah anak-anak terpuji sekali gus mampu membentuk institusi keluarga penyayang.

Yang dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) berkata perkara itu penting kerana setiap perbuatan ibu bapa menjadi ikutan anak-anak.

“Ibu bapa adalah orang terdekat yang akan dicontohi oleh anak-anak, jadi sudah pastinya setiap gerak-geri menjadi perhatian dan ikutan.

“Justeru, setiap apa pun yang ibu bapa buat perlu pastikan kita jadi model yang baik kerana ia akan ditiru oleh anak-anak,” kata Datin Seri Masdiana Muhamad hari ini.

Yang Dipertua Pekawanis Datin Seri Masdiana Muhamad bergambar bersama ahli pekawanis selepas program Bual Bicara sempena Jelajah Selangor Penyayang di Stadium Sultan Suleiman, Klang pada 23 Oktober 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Berucap dalam prgram Bual Bicara dan Hi-Tea Puspanita Klang bersama Pekawanis di sini, beliau mengingatkan ibu bapa untuk bijak membahagikan tugas dan tanggungjawab supaya anak-anak tidak terabai.

“Perlu ada kesepakatan antara suami isteri selain saling menyokong antara satu sama lain. Tidak kira sama ada isteri itu suri rumah atau bekerjaya pembahagian tanggungjawab antara kedua-duanya amat penting untuk mengekalkan keharmonian rumah tangga,” katanya.

Program bertajuk Wanita Nadi Keluarga Penyayang antara sebahagian acara yang mewarnai Jelajah Selangor Penyayang Klang di Stadium Sultan Suleiman di sini.

Yang Dipertua Pekawanis Datin Seri Masdiana Muhamad melihat Ahli Bomba membuat demontrasi memadamkan api kebakaran selepas program Bual Bicara sempena Jelajah Selangor Penyayang di Stadium Sultan Suleiman, Klang pada 23 Oktober 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pengarang :