BUDAYARENCANA

Ibu-morfosis

Oleh Aliaa Alina

 

Pada suatu subuh yang sunyi, ibu saya telah bertukar menjadi sebatang pokok.

***

Ibu menangis pada malam adik lelaki saya dilahirkan. Tiada azan di telinga adik kerana ayah berada di kedai mamak menonton perlawanan bola sepak. Berita dari doktor membuatkan ibu bungkam apabila adik disahkan menghidapi Sindrom Down.

Saya ingat lagi pada hari adik memecahkan pasu bunga kesayangan ibu. Adik tersengih melihat kelakuan ibu yang kehisteriaan seperti sudah hilang akal.

“Sumpahlah aku jadi batu!” pekik ibu berulang kali sambil memegang serpihan pasu di lantai. Bunyi halilintar berdentum membuatkan saya dan adik berlari ketakutan masuk ke dalam bilik. Apabila saya mengintip dari pintu, tubuh ibu sudah hilang berganti sebongkah batu di ruang tamu.

Ayah masih belum pulang berpelesiran bersama rakannya.

Malam itu, saya melihat batu ibu bergerak masuk ke dalam dapur. Terdengar bunyi kelentang-kelentung sudip di kuali sehingga ke lewat malam. Keesokan pagi, terhidang nasi goreng dan telur hancur di atas meja. Ibu tenang di kerusi sambil menyuap nasi ke mulut adik. Ibu tersenyum nipis dan saya tidak pernah mengungkit tentang peristiwa dia bertukar menjadi batu.

Dan itu bukan kali terakhir ibu mengubah dirinya. Pernah sekali, adik terberak di dalam kereta sewaktu kami sekeluarga keluar membeli barangan dapur. Ayah memaki ibu kerana dia loya terbau tahi adik di dalam kereta. Ibu melawan kata dan ayah yang baran terus menampar muka ibu.

Ibu menjerit kesakitan dan terus membuka pintu kereta. Dia berlari-lari di tengah jalan raya. Dari jauh, suara ibu terlolong menyumpah diri menjadi seekor babi.

Ayah tidak menghiraukan kelakuan ibu. Dia berpatah semula ke rumah dan menyuruh saya memandikan dan menukar lampin adik. Manakala dia keluar melepak bersama rakan di kedai mamak sambil menonton gusti.
Adik meraung dan enggan membuka seluarnya. Saya cuba memaksa namun adik mengamuk lantas menolak saya sehingga jatuh terhumban ke lantai. Maka saya biarkan sahaja adik menangis teresak-esak dengan seluar yang dipenuhi najis.

Tidak lama kemudian, seekor babi yang berlumuran lumpur masuk ke ruang tamu rumah. Babi itu menyondol perlahan ke perut adik. Seperti mengenali babi itu, adik memeluknya dan mereka berdua berjalan berpimpinan ke bilik air. Air kolah dicurah dan bergema suara ibu membebel memarahi adik kerana berak dalam seluar. Seperti biasa, ibu memakaikan lampin dan membedak seluruh tubuh adik. Kemudian dia mencium dahi luas itu dan mendodoi sehingga adik berdengkur lena.

Dari kecil sampailah saya menjadi dewasa, acap kali ibu mengubah dirinya. Setiap kali ibu naik angin, berbalah dengan ayah atau dibelasah ayah, mulutnya laju menyumpah diri sendiri.

Ada kalanya ibu menjadi seekor anjing kurap, seekor kucing jalanan atau seekor burung layang-layang. Pernah sekali dia terlalu beremosi lantas menyumpah diri menjadi sepasang selipar kerana merasakan diri sering dipijak-pijak sepanjang masa.

Hairannya setiap kali dia menukarkan diri, ibu pasti muncul semula menjadi manusia. Rajuknya jarang lama dan marahnya cepat menghilang. Ibu akan memasak untuk kami, memandikan adik dan bermain dengan adik sehinggalah mereka berdua terlena bersama di ruang tamu.

Saya pernah menceritakan kisah ni kepada seorang profesor di sebuah perpustakaan. Walaupun diam-diam merasa bimbang jika dikatakan gila, namun diceritakan juga dari awal sehingga habis.
Komen profesor: Kisah ini aneh tetapi tidaklah mengejutkan. Mitos shapeshifter sudah diperkatakan sejak beratus tahun dahulu. Manusia menjadi serigala jadian, menjadi harimau Jambi atau menjadi raksasa wendigo. Dalam mitos Greek, dewa-dewi seperti Zeus, Athena, Artemis sering mengubah diri seiring menyumpah orang lain. Profesor itu terus menyambung ceritanya tentang mitologi shapeshifter.
Saya mengangguk sahaja. Orang akademik suka memberi penjelasan yang berjela-jela tetapi jarang relevan dengan kisah yang diceritakan. Saya cuma mahu tahu mengapa ibu memilih untuk kembali sedangkan dia boleh membebaskan diri pada bila-bila masa.

Semakin usianya meningkat, semakin jarang pula ibu berubah bentuk. Dia banyak mengalah dalam setiap pertengkaran. Ibu semakin bertoleransi dengan tantrum dan kelakuan adik yang sering mencabar kesabaran.

Walaupun ibu tidak lagi bermetamorfosis menjadi yang aneh-aneh namun berlaku perubahan ketara di tubuhnya. Wajah itu tampak tua dari usia. Tubuhnya seperti papan kerana ibu sering muntah-muntah dan hilang selera makan.

Suatu hari, ibu bersendirian pergi berjumpa doktor. Pulang dari hospital, ibu tidak menceritakan kepada saya tentang penyakit yang dihidapinya. Sebaliknya, dia kerap menangis di meja makan dan di dapur. Sehari selepas itu, ayah menjatuhkan talak tiga terhadap ibu.

Ketika talak jatuh, saya menyangka ibu akan mengamuk terus menyumpah dirinya. Mungkinkah kali ini ibu bertukar menjadi seekor harimau dan membaham tubuh ayah?

Malangnya ibu sekadar termenung panjang di meja makan. Saya dan adik terus memeluknya erat, sepanjang malam itu kami turut menangisi nasib ibu. Saya terjaga dari tidur apabila merasakan dahi ini disentuh lembut. Dalam kegelapan Subuh, saya melihat ibu menunduk dan mencium dahi adik. Ibu jalan berjengket keluar dari rumah dan saya segera mengekori dari belakang.

Di pinggir taman permainan, ibu berdiri tegak dengan kepalanya terkulai. Dalam masa sesaat, tubuh ibu berubah menjadi sebatang pokok yang rimbun. Adik merengek mahukan ibu lantas diceritakan ibu sedang menyendiri sebagai pokok.

“Nanti ibu jadilah manusia balik,” pujuk saya seperti selalu. Malangnya sehingga lewat malam, ibu tidak menjelma semula di dalam rumah kami. Tiga hari berlalu dan saya mulai menyedari bahawa ibu tidak akan pulang lagi ke pangkuan kami.

Ayah terus menghilangkan diri. Ketika saya bekerja di sebuah kedai runcit, bertebaran gosip bahawa dia sudah berkahwin lain. Saya tak peduli, kalau ayah mati pun kami langsung tak kisah.

Sewaktu saya pulang dari kerja, adik tiada di rumah. Mulanya saya beranggapan adik duduk menemani ibu di taman permainan. Namun saya kian gusar kerana adik masih belum pulang menjelang Maghrib.

Saya segera berlari menuju ke pokok ibu. Saya memanggil-manggil nama adik namun tiada kelibat tubuhnya yang tembam di sekitar taman permainan itu. Dari pokok ibu, sayup-sayup terdengar suara adik menyahut panggilan. Saya mendongak dan melihat sebiji buah melon tergantung di dahan ibu. Buah itu melekuk berwajah kanak-kanak tembam yang tersenyum. Seperti buah Al-WaqWaq dalam cerita dongeng Persian.
Air mata mulai membasahi pipi ini. Suasana semakin dingin dan suram. Kegelapan tiba dan mulai menelan seluruh taman permainan itu. Perlahan-lahan dedaun ibu bergerak melingkari dan menyelimuti buah itu sepenuhnya.

 

 


Pengarang :