Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media di Kementerian Kesihatan Putrajaya pada 28 Disember 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Individu positif Covid-19 bergejala ringan dibenar mengundi dalam PRU15

KUALA TERENGGANU, 13 OKT: Individu yang positif Covid-19 namun tidak kritikal, akan dibenarkan mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata bagaimanapun individu tersebut perlu mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ketat yang akan diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kelak.

Menurut beliau pihaknya telah bermesyuarat dengan SPR bagi mengesyorkan beberapa cadangan untuk dimasukkan sebagai SOP bagi memastikan pilihan raya berjalan lancar dan selamat.

“Akan ada saluran khas untuk mereka (yang positif Covid-19) nanti, tidak akan bercampur dengan orang lain.

“Pemakaian pelitup muka dan pelindung muka juga penting selain sanitasi. Pemakaian pakaian perlindungan peribadi (PPE) lengkap kami tak cadangkan dalam SOP,” katanya ketika ditemui pada Sambutan Hari Penglihatan Sedunia 2022 Peringkat Kebangsaan di Taman Tamadun Islam (TTI) di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga telah melakukan persiapan menghadapi banjir termasuk menyediakan petugas di lokasi pusat pemindahan sementara (PPS) dan mengenal pasti lokasi yang mempunyai pesakit berisiko.

Katanya petugas akan memastikan aspek kebersihan di PPS terjaga dan melakukan saringan bagi mengelak risiko jangkitan pelbagai penyakit yang berbahaya.

“Untuk pesakit dengan kes berisiko seperti buah pinggang yang memerlukan rawatan hemodialisis pula, KKM dah kenal pasti awal kedudukan mereka supaya rawatan tak putus (terhenti) ketika banjir.

“Kami ada data mereka dan kami ada juga data tempat mana yang perlu kami tingkatkan perkhidmatan jika berlaku banjir,” katanya.

Menurutnya lagi, sebanyak 552 daripada 2,891 Klinik Kesihatan di seluruh negara dikenal pasti berisiko dilanda banjir, namun langkah alternatif telah diambil bagi menghadapi masalah terbabit.

– BERNAMA


Pengarang :