BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

INVOcell, versi baharu IVF untuk rawat ketidaksuburan

Oleh Soon Li Wei

KUALA LUMPUR, 27 OKT: “Insya-Allah 24 November ini kami akan menimang cahaya mata pertama kami.

“Sama ada lelaki atau perempuan, kami menerima anugerah Ilahi ini dengan penuh rasa syukur, ” Shuhaida Abdul Karim, 34, berkongsi berita gembira ini.

Beliau yang berkhidmat sebagai staff jururawat di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan, Kuala Lumpur mendirikan rumah tangga dengan suaminya, Mohd Niazmin Omar Ali, 35, pada sekitar tahun 2015.

Menurut Shuhaida, setelah mencuba untuk hamil selama hampir tujuh tahun, beliau dan suaminya memutuskan untuk mencuba INVOcell, versi baharu Persenyawaan In Vitro (IVF) dari Amerika Syarikat untuk merawat ketidaksuburan.

Kandungan Shuhada kini sudah 35 minggu dan sudah semestinya pasangan ini berasa begitu teruja dan tidak sabar-sabar untuk menerima kedatangan ‘orang baharu’ dalam hidup mereka.

INVOcell adalah sistem intravaginal culture (IVC) yang membolehkan badan wanita mengandungkan embrio mereka sendiri.

Pengalaman INVOcell

Selepas mengalami kegagalan untuk beberapa kitaran rawatan kesuburan, termasuk prosedur Permanian Beradas (IUI) di sebuah hospital kerajaan. Shuhada dirujuk ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) untuk rawatan IVF Februari lepas.

(IUI melibatkan prosedur inseminasi sperma yang aktif dan dimasukkan terus ke dalam rahim wanita pada ketika akan berlaku ovulasi iaitu pelepasan sel telur wanita untuk disenyawakan).

“Saya pernah buat IUI sebanyak dua kali tetapi gagal kerana sebelum itu pernah mengandung di luar rahim setahun selepas kahwin, namun setelah disyorkan oleh pakar sakit puan di HAT Tuanku Mizan, saya dirujuk ke HCTM untuk mendapatkan rawatan IVF.

“Ketika itu, doktor menyarankan supaya saya mencuba rawatan INVOcell dan tanpa berfikir panjang, saya dan suami terus bersetuju untuk mendapatkan rawatan itu walaupun diberitahu ia adalah kaedah rawatan terbaharu yang ditawarkan di HCTM.

“Alhamdulilah selepas lebih sebulan menerima rawatan itu buat kali pertama, saya berjaya hamil dan dijangka bersalin pada 24 November depan,” kata beliau kepada Bernama.

Berkongsi pengalaman mendapatkan rawatan INVOcell , Shuhada berkata doktor akan memasukkan cecair hormon untuk memudahkan proses ovulasi dan mematangkan telur sebelum menyerap telur yang matang pada hari ke-20 telur menjadi matang sebelum menstruasi.

“Telur-telur akan disenyawakan bersama sperma melalui INVOcell, sebelum dimasukkan ke dalam vagina selama lima hari. Selepas itu INVOcell akan dikeluarkan untuk membiarkan embrio membesar di dalam rahim.

“Sepanjang lima hari itu, saya diberi cuti sakit kerana ketika INVocell berada di dalam rahim, saya disarankan oleh doktor untuk mendapatkan rehat secukupnya bagi menstabilkan kandungan,” katanya.

Rawatan INVOcell untuk ketidaksuburan adalah yang pertama di Malaysia dan pada masa ini hanya disediakan di Pusat Reproduktif Termaju (ARC) HCTM.

HCTM juga diiktiraf oleh Malaysia Books Of Record sebagai hospital pertama di Malaysia yang berjaya melaksdanakan kaedah INVOcell ke atas pesakitnya.

Harga yang berpatutan

ARC diketuai oleh Prof Madya Dr Abdul Kadir Abdul Rahim dan Pakar Reproduktif Prof Madya Dr Mohamad Faizal Mohamad. Kos untuk rawatan INVOcell adalah sekitar 30 peratus lebih rendah daripada rawatan tradisional IVF kerana ia tidak memerlukan kerja di makmal.

Menurut Dr Abdul Kadir, rawatan INVOcell adalah alternatif yang lebih ‘lmemudahkan’ berbanding IVF yang konvensional – mudah diakses, kos berpatutan dan pesakit dapat menjalani sendiri proses rawatan secara dekat.

“Berbanding kaedah lain IVF yang membangunkan embrio di dalam makmal, rawatan INVOcell menggunakan badan wanita itu sendiri sebagai inkubator sewaktu persenyawaan dan perkembangan awal embrio.

“Sebagai pilihan kos yang lebih rendah kepada kaedah tradisional IVF, INVOcell menawarkan akses kepada pesakit yang mungkin tidak mampu mendapatkan rawatan kaedah tradisional atau berkehendakkan pilihan yang lebih semula jadi atau berasaskan budaya atau agama, ” katanya.

Menurut beliau, teknologi berkenaan diperkenalkan kira-kira 20 tahun lalu cuma dikomersialkan di Amerika Syarikat pada tahun 2015.

“Kaedah ini diperkenalkan sebagai pilihan rawatan kesuburan yang berpatutan di Amerika Syarikat dan Malaysia.

“Di ARC, kami cuba menyediakan pakej rawatan untuk keseluruhan tiub vagina INVOcell sebanyak kira-kira RM7,000 hingga RM8,500, berbanding IVF konvensional yang kosnya antara RM12,000 hingga RM13,000,” katanya.

Peranti khas untuk INVOcell

Sebaik sahaja pesakit bersetuju menerima rawatan INVOcell, doktor akan memberikan ubat untuk merangsang pengeluaran telur.

INVOcell menggunakan peranti khas, berukuran 4sm panjang dan 3.5sm lebar, yang memegang telur serta sperma atau embrio yang sudah disenyawakan dan berada dalam ‘inkubasi’, rahim ibu.

“Penggunaan tiub mengandungi oocytes pesakit dan sperma dimasukkan ke dalam vagina. Dengan menggunakan tiub ini, tidak perlu kepada inkubator di dalam makmal kerana ia berfungsi sebagai inkubator semula jadi.

“Sebaik sahaja inkubasi selesau, embrio akan dipindahkan ke dalam rahim pesakit untuk proses penghamilan,” katanya.

Menurut Dr Abdul Kadir, pakar obstetrik-ginekologi di ARC, selepas lima hari, tiub berkenaan akan dikeluarkan dari vagina.

“Embrio akan disaring untuk dimasukkan ke dalam rahim. Embrio yang lain akan disimpan dan dibekukan.

“Setakat ini, sejak kami kami memperkenalkan kaedah INVOcell pada bulan Februari tahun ini (2022), seramai 10 orang pesakit menggunakan kaedah ini dan empat orang daripada mereka berjaya hamil, ” katanya.

Menurut beliau, HCTM adalah perintis projek rawatan INVOcell dan mula menjalankan penyelidikan sejak Julai 2021 dan bekerjasam dengan SNS Murni Sdn Bhd yang membawa peranti berkenaan dari Amerika Syarikat.

“Kami berharap rawatan ini akan menjadi alternatif kepada pesakit yang mengalami masalah ketidaksuburan dan tidak mampu mendapatkan rawatan konvensional IVF,” katanya.

Proses keibuan

Sementara itu, Dr Mohamad Faizal berkongsi bahawa rawatan INVOcell mempunyai beberapa manfaat berbanding kaedah IVF yang lain.

“Pesakit yang memilih IVF mungkin datang ke klinik atau hospital untuk uruan ultrasound atau pengambilan darah kerana banyak ubat-ubatan yang perlu diambil, dan doktor perlu memantau pengambilan ubat berkenaan.

“Bagaimanapun dengan INVOcell, pesakit hanya perlu mengambil sedikit ubat-ubatan, lazimnya hanya dua kali datang ke klinik dan kurang kesakitan,” katanya.

Beliau menambah, kaedah rawatan INVOcell banyak melibatkan pesakit kerana proses persenyawaan dan inkubasi embrio berlaku dalam badan pesakit, bukan di makmal.

“Pesakit juga akan mula mengalami proses keibuaan kerana vagina mereka berfungsi sebagai inkubator embrio dan sudah tentu ini membuatkan mereka berasa lebih dekat dengan bayi mereka,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif INVO Bioscience, Steve Sum dalam satu kenyataan berkata, kaedah rawatan INVOcell akan secara rasminya dikomersialkan di HCTM selepas kejayaan pengemukaan data di Obstetrical and Gynecological Society of Malaysia (OGSM) dan disokong oleh Kementerian Sains dan Inovasi.

“HCTM akan mula menawarkan rawatan INVOcell untuk kedua-dua sektor awam dan swasta bagi melengkapkan kitaran jumlah menjelang penghujung tahun 2022.

“Kami sedang bekerjasama dengan rakan kongsi di Malaysia untuk membuka Pusat INVO bagi menawarkan kemudahan rawatan kesuburan termaju ini kepada rakyat Malaysia,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :