Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pengurusan Halal Selangor Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Ahmad Solihin Maryakon memberi taklimat berkaitan industri halal sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 7 Oktober 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jais: Kelulusan sijil, logo halal perniagaan dibuat secara teliti

KUALA LUMPUR, 7 OKT: Bahagian Pengurusan Halal Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) meneliti pelbagai aspek sebelum meluluskan permohonan sijil dan logo halal daripada pengusaha perniagaan.

Penolong pengarah kanan berkata pihaknya bukan menilai dokumen sokongan pemohon semata-mata, sebaliknya turut memeriksa premis dan lesen perniagaan.

Ahmad Solihin Maryakon menjelaskan lazimnya permohonan baharu disemak secara terperinci berbanding permohonan berulang yang pernah direkodkan dalam sistem.

“Oleh sebab itu tempoh menunggu kelulusan itu tidak menentu. Proses semakan dibuat berlapis-lapis oleh pegawai penilai sebelum dibawa ke mesyuarat bulanan.

“Bagaimanapun dalam rekod kita memang ada permohonan yang lulus dalam tempoh sebulan dan itu paling cepat,” katanya ditemui pada Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya harus bertindak adil dalam proses kelulusan sijil dan logo halal tanpa mengira status pemohon.

“Sebenarnya yang gagal memperoleh sijil halal bukan bermakna kita tidak akan memberi pertimbangan, cuma paling penting kita mahu beri kesedaran kepada mereka berkaitan pemahaman halal sebelum mohon.

“Jika mereka sendiri tidak boleh patuh kriteria maka kita terpaksa menolak permohonan tersebut kerana kita kena adil dengan orang lain pula. Kita tidak boleh pilih kasih hanya disebabkan syarikat yang mohon orang Melayu,” katanya.

Untuk rekod, lebih 3,000 permohonan sijil halal diterima sejak Januari hingga akhir bulan lalu dengan majoriti permohonan membabitkan pengusaha produk dan premis makanan.

Orang ramai menghadiri Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 7 Oktober 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

 


Pengarang :