Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pengurusan Halal Selangor Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Ahmad Solihin Maryakon ketika memberi taklimat halal sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 7 Oktober 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Jais periksa premis niaga secara berkala, didik pengusaha miliki sijil halal

KUALA LUMPUR, 8 OKT: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menjalankan pemeriksaan secara berkala bagi memastikan pengusaha premis perniagaan di negeri ini mempunyai perakuan sijil dan logo halal yang sah.

Penolong pengarah kanan bahagian pengurusan halal Selangor berkata program ziarah halal dibuat berdasarkan aduan awam termasuk premis yang dikenal pasti.

“Kita ada pegawai penguat kuasa di setiap daerah untuk jalankan pemeriksaan. Penguatkuasaan dibuat dalam pelbagai bentuk, misalnya tindakan paling berhemah dengan memberitahu sekiranya pengusaha tiada sijil dan logo halal akan memberi implikasi kepada mereka.

“Jika perlu, tindakan tegas akan dikenakan terhadap mereka yang tiada logo dan sijil halal sah seperti sitaan barang perniagaan, namun bergantung kepada keadaan,” kata Ahmad Solihin Maryakon.

Beliau ditemui selepas mengendalikan program bicara halal sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, semalam.

Pada 4 Jun lalu, EXCO industri halal memaklumkan Kerajaan Negeri sedia menjalin kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi meningkatkan jumlah peniaga muslim memiliki sijil halal.

Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata NGO terbabit diminta mendapat maklumat tepat supaya boleh menjadi fasilitator kepada Kerajaan Negeri untuk mempercepat proses pendaftaran sijil halal.

Sebelum ini, Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) Selangor turut memaklumkan pihaknya dalam proses merangka program memudahkan usahawan memperoleh sijil halal selepas mendapat rungutan daripada orang ramai khususnya peniaga.


Pengarang :