Aksi pelumba ketika berada dalam peloton (kelompok) sempena perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) Malaysia 2022 peringkat pertama sejauh 157.3 kilometer dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan ke Kuala Lumpur pada 11 Oktober 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Jalan sekitar Gombak ditutup esok sempena Le Tour de Langkawi

KUALA LUMPUR, 12 OKT: Beberapa jalan raya sekitar Gombak, di sini akan ditutup bermula pukul 1 tengah hari esok, sempena perlumbaan peringkat ketiga Le Tour de Langkawi (LTdL).

Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak Supt Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata antara jalan yang akan ditutup sepanjang perlumbaan itu berlangsung ialah susur keluar Taman Melati ke MRR2 Batu Caves, susur keluar Shell Taman Melati, MRR2 dari arah Batu Caves hala tol Gombak dan Jalan Sungai Pusu hala ke tol Gombak.

“Semua pengguna jalan raya dinasihat untuk mengelakkan melalui jalan-jalan yang terlibat dengan perlumbaan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Perlumbaan LTdL peringkat ketiga akan bermula di Putrajaya dan berakhir di Genting Highlands dengan pelumba dijangka tiba di sempadan daerah Gombak kira-kira pukul 3 petang dan tamat selewat-lewatnya pukul 4.15 petang.

-BERNAMA


Pengarang :