Syarikat penyelenggara jalan negeri Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) menurap Jalan Sungai Pusu selepas menerima aduan menerusi platform sama disertai tanda pagar #infrasel #namajalan #daerah. Foto Twitter Infrasel
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jalan Sungai Pusu, Gombak selesai diturap tidak sampai 24 jam

SHAH ALAM, 27 OKT: Kerja baik pulih Jalan Sungai Pusu di Gombak selesai dalam tempoh 24 jam selepas aduan penduduk di Twitter.

Syarikat penyelenggara jalan negeri Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) memaklumkan kerja penurapan jalan itu dibuat sejurus menerima laporan semalam.

Syarikat itu meminta orang ramai terus membuat aduan menerusi platform sama disertai tanda pagar #infrasel #namajalan #daerah di mana kerosakan jalan berlaku.

Sepanjang September, beberapa jalan negeri dibaiki sebaik mendapat aduan orang ramai menerusi media sosial anak syarikat Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) itu.

Antaranya melibatkan empat lokasi di Sabak Bernam iaitu Jalan Seri Gambut, Panchang Bedena, Jalan Parit 6 Sekinchan, Jalan Sawah Ban dan Batu 53 Jalan Lama Kuala Selangor.

Turut dibaiki, dua laluan di Hulu Selangor, kedua-duanya di sepanjang Jalan Genting Highlands-Batang Kali.

Kerja pembaikan segera turut meliputi laluan di Jalan Rahidin 1, Kampung Paya Jaras Dalam, Shah Alam dan Jalan Selayang-Kepong, Gombak.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menggalakkan orang ramai melaporkan kejadian jalan rosak di komuniti masing-masing menerusi Twitter.

Menurutnya, proses pelaporan kerosakan jalan di Selangor dipermudah dengan aduan di platform berkenaan sebelum ditapis dan disemak secara automatik.

Laporan lebih lengkap selenggara jalan: Negeri ganda usaha baiki jalan rosak, selesai dalam 24 jam


Pengarang :